BMI kekalkan unjuran harga minyak mentah Brent AS$85 bagi 2024, AS$84 pada 2025 | DagangNews Skip to main content

BMI kekalkan unjuran harga minyak mentah Brent AS$85 bagi 2024, AS$84 pada 2025

KUALA LUMPUR 4 Dis - BMI mengekalkan unjuran harga minyak mentah Brent pada purata tahunan AS$85 setong bagi 2024 dan AS$84 setong pada 2025.

 

Pada tahun depan, unit Fitch Solutions itu berkata Brent dijangka mengalami kelembapan ketara pada separuh pertama berikutan ekonomi pasaran maju akan memberi tekanan besar terhadap harga dan apabila pertumbuhan ekonomi global pada separuh kedua melepasi paras terendah, sentimen akan mengukuhkan kedudukan minyak mentah tersebut untuk menjana kenaikan yang baik.

 

Berikutan keadaan makro yang tidak menentu itu, dasar Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) mempunyai peranan penting dalam menetapkan harga Brent.

 

Ketika mesyuarat terbaharunya pada 30 November lepas, kumpulan itu memilih untuk melanjutkan pengurangan semasa sehingga tahun baharu, termasuk pengekangan unilateral 1.3 juta tong sehari bagi pengeluaran minyak mentah yang ditawarkan oleh Arab Saudi dan Rusia.

 

BMI menjelaskan bahawa peranan OPEC+ itu amat penting dalam mengawal pasaran minyak daripada kemerosotan harga pada 2014 dan 2020, dan pengekangan pengeluaran secara amnya berjaya menyokong harga, justeru dalam meningkatkan pendapatan, kumpulan itu perlu menanggung akibat dari segi bahagian pasarannya.

 

“Kami menjangkakan pertubuhan itu melanjutkan tindakan mengekang jumlah pengeluaran sehingga sebahagian besar tempoh separuh pertama, kerana sebarang peningkatan bekalan mungkin mencetuskan kerugian besar Brent apabila ekonomi global semakin lembap,” katanya dalam nota penyelidikan.

 

Bagaimanapun, BMI berkata permintaan lebih tinggi secara bermusim pada beberapa bulan musim panas dan jangkaan pemulihan ekonomi pada separuh kedua 2024 mungkin menyediakan titik kemasukan semula ke pasaran.

 

“Justeru, untuk mengembalikan tong yang dikurangkan itu, perkara ini perlu ditentukan masanya secara berhati-hati dan perlu dilaksanakan beransur-ansur bagi mengelak daripada menjejaskan sebarang pemulihan baru harga,” menurutnya.

 

Walaupun Israel mahupun Gaza tidak mengeluarkan minyak dalam jumlah yang besar, BMI berkata terdapat risiko jika krisis itu merebak, kerana keadaan itu akhirnya akan menjejas eksport atau kargo Iran yang transit di Selat Hormuz.

 

Setakat ini, perang kekal terkawal dengan baik, dan peserta pasaran minyak nampaknya dengan cepat menolak kebarangkalian memuncaknya krisis itu.

 

 

Permintaan dari pasaran maju melepasi paras tertinggi

Menurut BMI, datanya menunjukkan permintaan minyak dari pasaran maju (DM) telah melepasi paras kemuncak selepas COVID-19 dan dijangka susut sekali lagi kepada penurunan sekular, menandakan 'kemuncak' permintaan minyak ketiga dari DM selepas 2005 dan 2018, dan setiap kali tempoh pemulihan semakin lemah dan kemuncak juga semakin rendah.

 

“Kecekapan tenaga yang bertambah baik, peningkatan elektrifikasi pengangkutan dan peralihan lebih meluas kepada bahan api alternatif memacu penyusutan permintaan minyak di DM, paling ketara di Eropah.

 

“Pada 2024, pemacu lebih berstruktur ini akan ditambah lagi oleh kemerosotan ketara aktiviti ekonomi, menimbulkan risiko negatif lagi kepada unjuran semasa kami,” tambahnya.

 

Sebaliknya, BMI menetapkan prospek yang agak kukuh berhubung permintaan dari pasaran pesat membangun (EM), walaupun pertumbuhan penggunaan minyak domestik perlahan di China, yang mana dorongan berterusan untuk meningkatkan eksport bahan apinya sepatutnya membantu meningkatkan permintaan import mentah negara itu.

 

Tidak termasuk China, BMI mengunjurkan pertumbuhan penggunaan oleh EM akan semakin pesat tahun depan.

 

“Peningkatan semula permintaan Rusia susulan meletusnya perang Ukraine membentuk bahagian penting dalam pandangan ini namun, kepesatan itu juga ditambah dengan pandangan optimis kami terhadap penggunaan di beberapa pasaran Asia, termasuk India, Vietnam dan Filipina,” katanya.  - DagangNews.com