BJAK didakwa kenakan caj tambahan, sah laku cukai jalan tidak dikemas kini, JPJ minta elak platform tak sah | DagangNews Skip to main content

BJAK didakwa kenakan caj tambahan, sah laku cukai jalan tidak dikemas kini, JPJ minta elak platform tak sah

Iklan pembaharuan cukai jalan di platform BJAK sebelum ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Mei - Caj tambahan yang dikenakan BJAK Sdn Bhd (BJAK) kepada pelanggan untuk urusan memperbaharui cukai jalan tidak pernah mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Kementerian Pengangkutan.

 

Menurut JPJ, terdapat aduan ketidakpuasan hati diterima pihaknya daripada orang awam yang perlu membayar caj tambahan ketika memperbaharui cukai jalan yang dikenakan oleh BJAK. 

 

Sedangkan kata kenyataan itu, Kementerian Pengangkutan mahupun JPJ tidak pernah memberikan kelulusan kepada BJAK untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan.

 

 

"Pengoperasian yang dilakukan oleh BJAK berkaitan urus niaga pembaharuan cukai jalan adalah tanpa kebenaran dengan JPJ," kata kenyataan itu hari ini.

 

Tegas JPJ, pihaknya juga menerima beberapa aduan daripada orang awam antaranya pembaharuan cukai jalan telah dilaksanakan melalui laman sesawang BJAK, namun tempoh sah laku cukai jalan tidak dikemas kini. 

 

"Jabatan ini ingin menjelaskan dan menegaskan bahawa tiada integrasi sistem di antara Sistem JPJ (MySIKAP) dengan sistem yang digunakan oleh pihak BJAK," jelas JPJ.

 

JPJ dalam kenyataan itu turut memandang serius terhadap kandungan iklan yang telah dikeluarkan oleh BJAK di laman sesawang bjak.my dan media sosial BJAK berhubung perkhidmatan urus niaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan secara online yang ditawarkan kepada orang awam termasuklah program pemberian cukai jalan secara percuma.

 

"Pihak JPJ juga ingin memaklumkan bahawa terdapat kenyataan yang telah dipaparkan oleh pihak BJAK melalui laman sesawang mereka iaitu "Pembaharuan roadtax secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ" adalah tidak benar dan mengelirukan orang awam.

 

JPJ dalam pada itu menggalakkan urus niaga memperbaharui cukai jalan adalah melalui kaunter JPJ, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile, Aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ dan platform rakan niaga JPJ (Pos Malaysia, MyEG dan PUSPAKOM) sahaja. 

 

jpj
JPJ menggalakkan orang awam menggunakan aplikasi MyJPJ untuk urusan dengan jabatan itu. -Gambar JPJ Wilayah Persekutuan

 

Justeru, orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dengan mana-mana platform yang menawarkan perkhidmatan memperbaharui cukai jalan yang tidak sah bagi mengelakkan sebarang penipuan dan kerugian.

 

"Sebaliknya orang ramai dinasihatkan supaya merujuk atau menghubungi pihak JPJ terlebih dahulu untuk maklumat lanjut," jelas kenyataan JPJ itu.

 

Kata kenyataan itu, JPJ sentiasa berusaha dan komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam terutamanya para pelanggan JPJ sentiasa terpelihara. 

 

"Sebarang aduan rasmi boleh disalurkan kepada pihak JPJ menerusi Portal Aduan Rasmi JPJ - https://jpj.spab.gov.my/," ujarnya.- DagangNews.com