Bioeconomy Corporation sasar 65 syarikat, 120 calon sertai Jelajah Bioekonomi di Sabah | DagangNews Skip to main content

Bioeconomy Corporation sasar 65 syarikat, 120 calon sertai Jelajah Bioekonomi di Sabah

MOSTI menyeru usahawan, syarikat dan bakat industri bioteknologi dan berasaskan bio, terutamanya di rantau Borneo, untuk menyertai Jelajah Bioekonomi.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Mac - Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) menyasarkan sejumlah 65 buah syarikat dari seluruh Malaysia untuk menyertai program Status BioNexus dan BBA, termasuk 120 calon untuk program BeST 2.0 melalui siri Jelajah Bioekonomi tahun ini.

 

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Mohammad Yusof Apdal berkata, program jelajah itu menyokong Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) dalam mengatasi cabaran yang dihadapi kebanyakan pemain industri, seperti kekurangan akses kepada pembiayaan, kesulitan dalam mendapatkan pensijilan, akreditasi dan akses pasaran kesukarmencari pekerja yang berpengetahuan.

 

Katanya, beliau menyeru usahawan, syarikat, dan bakat industri bioteknologi dan berasaskan bio, terutamanya di rantau Borneo, untuk menyertai Jelajah Bioekonomi dan memanfaatkan perkhidmatan Bioeconomy Corporation yang dapat menyokong keperluan industri mereka.

 

"Sehingga 2023, sejumlah 488 syarikat berstatus BioNexus dan BBA meraih pelaburan diluluskan bernilai RM8.3 billion, menjana pendapatan RM20.4 bilion dan mencipta hampir 15,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

 

"Sejak 2021, lebih daripada 1,800 calon telah berdaftar di bawah program BeST 2.0 untuk ditempatkan dan dilatih sebagai pekerja di syarikat-syarikat berstatus BioNexus dan  BBA, dengan kadar pengambilan kerja sebanyak 96%,” katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

mosti
Mohammad Yusof Apdal ketika berucap merasmikan Jelajah Bioekonomi di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak pula berkata, pihakan melakukan susulan rapat dengan pemain-pemain itu dan memastikan mereka diberikan akses kepada semua kemudahan dan bantuan yang dijanjikan.

 

"Dengan semangat bioeconomy untuk semua, kami yakin Jelajah Bioekonomi akan melahirkan satu lagi generasi usahawan, syarikat serta bakat yang hebat, berinovasi dan berdaya saing.

 

 

mosti

 

 

Katanya, Bioeconomy Corporation akan melakukan susulan rapat dengan pemain-pemain itu dan memastikan mereka diberikan akses kepada semua kemudahan dan bantuan yang dijanjikan melalui program-program bimbingan anjuran MOSTI bersama Bioeconomy Corporation.

 

Menurut kenyataan itu, Siri Jelajah Bioekonomi akan dilaksanakan di 9 lokasi iaitu Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan di Sabah, Kuching dan Miri di Sarawak serta kawasan utara, timur, selatan dan tengah di Semenanjung Malaysia sepanjang 2024.

 

 

mosti

 

 

Melalui siri ini katanya, pemain-pemain industri didedahkan kepada perkhidmatan fasilitasi oleh Bioeconomy Corporation yang dapat meningkatkan prestasi perniagaan, memperluaskan skala operasi dan memudahkan mereka menerima insentif-insentif khas seperti insentif cukai.

 

"Fasilitasi ini termasuklah pembangunan produk, pensijilan, pengiktirafan ujian makmal, serta kemudahan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.

 

"Bioeconomy Corporation juga turut bekerjasama dengan MOSTI serta agensi lain di bawahnya dengan memberi khidmat nasihat dan sokongan dalam akses pasaran, pembiayaan, bantuan cukai, perkhidmatan imigresen, hal ehwal regulatori, harta intelek serta pembangunan bakat dan pekerja berpengetahuan. - DagangNews.com