KUALA LUMPUR 4 Sept - Betamek Berhad menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP) bagi membangunkan projek "SafeSync360: Next-Gen Infotainment with Child Guard Technology".
Kerjasama itu dimeterai Betamek Research Sdn Bhd (BRSB), anak syarikat milik penuh Betamek dengan anak syarikat UTP, Institut Teknologi Petronas Sdn Bhd (ITPSB) bagi membangunkan projek itu.
Projek itu bertujuan untuk menolak sempadan keselamatan automotif dan infotainmen dengan menyepadukan teknologi termaju yang mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak dalam kenderaan sambil menyediakan kandungan dan penyelesaian hiburan bermaklumat.
Menerusi kerjasama itu, ITSP memainkan peranan penting dalam memajukan inisiatif penyelidikan itu dan memupuk kerjasama yang menyumbang kepada kemajuan teknologi dan inovasi di Malaysia.
Menurut satu kenyataan, Betamek berkata, kerjasama itu sejajar dengan dengan objektif syarikat untuk meningkatkan penawaran produknya melalui inovasi dan kemajuan teknologi.
"Projek SafeSync360 mewakili satu langkah penting ke hadapan dalam membangunkan penyelesaian automotif generasi akan datang yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga melindungi penumpang," ujar Betamek.

Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata,kerjasama dengan UTP itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat terhadap inovasi dan keselamatan dalam industri automotif.
"Projek SafeSync360 merupakan bukti usaha berterusan syarikat dalam membangunkan teknologi canggih yang meningkatkan keselamatan dan pengalaman penumpang kenderaan, terutamanya kanak-kanak," ulas beliau.
Sementara itu, harta intelek (IP) hasil daripada kerjasama itu akan dimiliki oleh BRSB termasuk sebarang ciptaan, kaedah, proses, reka bentuk, pelan, lukisan, maklumat saintifik, teknikal atau kejuruteraan atau dokumentasi yang dibangunkan semasa projek. - DagangNews.com








