Belum ada 'sinar' buat pengeluar sarung tangan getah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belum ada 'sinar' buat pengeluar sarung tangan getah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Julai - Pengeluar sarung tangan getah dijangka terus berdepan persekitaran operasi yang mencabar pada separuh kedua ini memandangkan situasi lebihan bekalan mungkin tidak kembali normal dalam tempoh yang cepat. 

 

Ekoran persekitaran yang sengit terutamanya nitril, penguncupan margin juga dijangka berlaku dalam tempoh berkenaan kerana pengeluar sarung tangan getah sukar melepaskan kenaikan kos kepada pembeli, jelas penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Sophie Chua Siu Li. 

 

Ini mendorongnya mengekalkan pandangan 'underweight' terhadap sektor sarung tangan getah memandangkan situasi lebihan bekalan akan terus berlanjutan sepanjang separuh kedua 2022 kerana pembeli belum bersedia membuat tempahan dalam skala yang besar.

 

Menurut beliau, sektor tersebut berdepan dengan situasi lebihan bekalan apabila pengeluar sarung tangan getah mengembangkan kapasiti mereka dengan agresif ketika pandemik COVID-19 bagi memenuhi permintaan pasaran. 

 

Tetapi, katanya, selepas pelancaran vaksin secara besar-besaran di seluruh dunia, permintaan untuk sarung tangan kembali perlahan dan kekal lemah setakat ini.

 

"Ketidakseimbangan dinamik permintaan-bekalan juga menyebabkan harga jualan purata (ASP) terus tertekan pada separuh kedua 2022 dan kami menganggap bahawa sebarang kemungkinan pelarasan ke atas harga sarung tangan getah adalah kecil, terutamanya untuk menampung peningkatan kos operasi.

 

"Pemain sarung tangan juga tidak terlepas daripada persekitaran inflasi yang tinggi dan menghadapi peningkatan tekanan kos yang timbul daripada kos bahan mentah, gaji dan gas asli yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

hartalega

 

 

Mengambil kira faktor-faktor ini, beliau menyemak turun penarafan saham Hartalega Holdings Bhd. kepada 'jual' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM2.37 daripada RM4.21 sesaham sebelum ini.

 

Unjuran hasil kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) hingga FY24 juga dikurangnya sebanyak 30% disebabkan hakisan margin kerana tidak berupaya melepaskan keseluruhan kenaikan kos kepada pembeli. 

 

"Kami juga menilai Hartalega pada gandaan harga perusahaan (PE) yang lebih rendah sebanyak 16x (daripada 19.8x sebelumnya), untuk mewakili risiko yang lebih tinggi potensi pengecualiannya daripada konstituen KLCI dalam ulasan seterusnya pada Disember 2022.

 

"Apatah lagi Hartalega juga mempunyai pendedahan tertinggi kepada sarung tangan nitril (kira-kira 96% daripada volum jualan FY22 terdiri daripada sarung tangan nitril), segmen yang menghadapi persaingan paling sengit pada masa ini," jelasnya. 

 

 

Kossan

 

Sementara itu, unjuran hasil Kossan Rubber Industries Bhd. juga dikurangnya antara 18 hingga 27% selepas mengambil kira jangkaan berlakunya tekanan margin. 

 

Ini mendorong semakan semula TP yang lebih rendah kepada RM1.44 daripada RM1.97, mencerminkan gandaan PE sebanyak 14.9x bagi pendapatan sesaham (EPS) 2023 sebanyak 9.7 sen.

 

"Walaupun beroperasi dalam persekitaran yang sukar sama seperti pembuat sarung tangan yang lain, kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap Kossan, kerana kami percaya kapasiti pengeluaran tahunannya yang lebih kecil sebanyak 33.5 bilion keping dapat membantunya mengharungi saat sukar.

 

"Sebarang kemungkinan peningkatan dalam pesanan berkemungkinan besar akan mengisi kapasiti Kossan lebih awal, akhirnya membawa kepada kadar penggunaan yang lebih baik berbanding pemain industri lain," katanya.

 

 

Top Glove

 

 

Sebaliknya, Siu Li menaikkan menyemak naik unjuran hasil Top Glove Corp. Bhd. kurang daripada 3% bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022 (FY22) hingga FY24, setelah menyelaraskan anggaran kadar tukaran ringgit berbanding dolar AS. 

 

"Pelarasan pendapatan untuk Top Glove adalah kurang ketara, kerana kami telah menurunkan ramalan kami sebelum ini, untuk mengambil kira hakisan margin.

 

"Namun, kami menaikkan sedikit TP Top Glove kepada 83 sen daripada 82 sen sebelum ini, dengan mengekalkan saranan 'jual' terhadap syarikat pengeluar utama sarung tangan getah ini," tambahnya.

 

Setakat 10.22 pagi ini, harga saham Top Glove susut 2.5 sen atau 2.48% kepada 98.sen manakala Hartalega juga susut 12 sen kepada 4.29% kepada RM2.68. 

 

Bagaimanapun, harga saham Kossan kekal tidak berubah pada RM1.28 setakat pagi ini. - DagangNews.com