Bank mampu tanggung kerugian pinjaman pelanggan perniagaan - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Bank mampu tanggung kerugian pinjaman pelanggan perniagaan - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Institusi perbankan di dalam negara dijangka masih mampu bertahan jika berdepan kerugian kredit atau pemberian pinjaman kepada pelanggan perniagaan. 

 

Menurut penganalisis di PublicInvest Research, Ching Weng Jin, program bantuan bayaran balik pinjaman yang turut disokong oleh bantuan daripada kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah berjaya mengekang peningkatan dalam kegagalan bayaran balik.

 

Dalam masa sama, nisbah rosot nilai pinjaman perniagaan juga secara umumnya berada pada kadar yang stabil iaitu, 2.7%, jelas Weng Jin. 

 

“Bank mengekalkan tahap berhati-hati yang tinggi terhadap pendedahan risiko, dengan pemantauan peminjam dalam kalangan bank ditingkatkan untuk menguruskan risiko kredit secara proaktif.

 

“Tinjauan penyeliaan BNM menunjukkan bahawa tahap peruntukan yang dipegang oleh bank untuk menangani cabaran tersebut dilakukan dengan berhati-hati. 

 

“Ini dapat mengurangkan keperluan bank untuk meningkatkan peruntukan dalam segmen peminjam ini (perniagaan) dengan jumlah yang besar, dengan andaian keadaan ekonomi bertambah baik secara beransur-ansur,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan institusi perbankan sedang bersedia untuk berdepan situasi kegagalan pembayaran balik pinjaman yang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan peruntukan mereka. 

 

Pelbagai langkah sekatan yang dikuatkuasakan untuk mengekang penularan COVID-19 telah menjejaskan peminjam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), yang rata-ratanya mempunyai penimbal kecairan wang agak rendah.

 

Secara keseluruhannya, bantuan bayaran balik pinjaman oleh PKS telah mencanak kepada 21.6% daripada jumlah keseluruhan pinjaman kategori tersebut, terutamanya melibatkan perniagaan dalam sektor borong dan runcit, hartanah, pembinaan dan pembuatan.

 

Penganalisis di CGS-CIMB Research, Winson Ng sebaliknya melihat kerugian pengubahsuaian pinjaman ekoran pengecualian faedah di bawah moratorium akan mendatangkan risiko kepada sektor perbankan. 

 

Keadaan itu akan menjadi lebih membimbangkan sekiranya pengecualian faedah tersebut dilanjutkan sehingga menjangkaui tempoh suku keempat 2021 (4Q21) dan diperluaskan ke kategori peminjam PKS.

 

Pada 14 September lalu, Kementerian Kewangan mengarahkan bank untuk berusaha mengecualikan pembayaran faedah pada 4Q21 kepada kumpulan peminjam dari kumpulan 50% terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang menerima bantuan moratorium. 

 

PublicInvest dan CGS-CIMB, masing-masing mengekalkan penarafan ‘neutral’ dan ‘overweight’ ke atas sektor tersebut. - DagangNews.com