Awantec TalentXchange tawar khidmat penempatan pekerjaan, perundingan sumber manusia dalam bidang IT | DagangNews Skip to main content

Awantec TalentXchange tawar khidmat penempatan pekerjaan, perundingan sumber manusia dalam bidang IT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mei - Awantec Technology Bhd menerusi Awantec TalentXchange Sdn Bhd memperkenalkan Awantec TalentXchange (ATX) iaitu perkhidmatan penempatan pekerjaan dan perundingan sumber manusia bagi pencari kerja dalam bidang Teknologi Maklumat (IT).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Awantec, Azlan Zainal Abidin berkata, ATX merupakan perkhidmatan yang disediakan dengan matlamat membentuk ekosistem bakat yang menyeluruh untuk komuniti perniagaan.

 

Beliau berkata, ATX akan mengubah cara syarikat-syarikat memperoleh bakat dalam bidang IT melalui penambahan sumber. 

 

"Dengan menggabungkan latihan dan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), ATX memenuhi keperluan pengurusan tenaga kerja sementara terutamanya dalam gig ekonomi.

 

"Inisiatif ini selari dengan komitmen Awantec untuk menjadi rakan yang dipercayai untuk penyelesaian teknologi dan bakat seperti yang dibuktikan menerusi projek Selangor Kerjaya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, ATX memanfaatkan pakar-pakar penempatan pekerjaan dan teknologi AI daripada rakan kongsi mereka, Skillsoft Percipio bagi menilai pencari kerja sebelum membuat penempatan bagi memastikan mereka disesuaikan dengan keperluan organisasi. 

 

Katanya, mereka menyasarkan penglibatan pelbagai sektor termasuk perbankan & perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, e-dagang, runcit, farmaseutikal, pembuatan, dan pengangkutan & logistik. 

 

"Sejak dilancarkan, ATX berjaya meraih kontrak dengan Velesto Energy Bhd, menunjukkan potensinya untuk menjadi rakan pilihan untuk penempatan kerja dan mengoptimumkan carian pekerjaan dalam era digital," katanya..- DagangNews.com