Anggaran kerugian akibat banjir cecah antara RM5.3 hingga RM6.5 bilion - Kajian DOSM | DagangNews Skip to main content

Anggaran kerugian akibat banjir cecah antara RM5.3 hingga RM6.5 bilion - Kajian DOSM

KUALA LUMPUR 17 Jan - Dapatan kajian yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati anggaran kerugian akibat banjir akhir tahun lalu mencecah antara RM5.3 hingga RM6.5 bilion. 

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan melalui DOSM telah mengambil inisiatif menyediakan kajian menyeluruh impak banjir yang berlaku di negeri-negeri yang terkesan banjir termasuk Lembah Klang.

 

"Kerugian itu membabitkan kerosakan tempat kediaman antara RM1.2 hingga RM1.4 bilion manakala premis perniagaan pula antara RM500 hingga RM600 juta. 

 

"Kerosakan kenderaan pula berjumlah RM1 hingga RM1.3 bilion diikuti pertanian (RM4.9 hingga RM49.9 juta), pembuatan (RM800 juta hingga RM1 bilion) dan aset awam dan infrastruktur (RM2 bilion)," katanya. 

 

 

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

 

 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Pelaksanaan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin hari ini.

 

Survei ini dilaksanakan secara temuramah bersemuka dan akan melibatkan seramai 92,000 isi rumah terpilih meliputi lebih 500,000 orang penduduk di seluruh negara.

 

Ia akan memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya kerajaan dalam menganalisis agihan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah mengikut domain yang lebih terperinci.

 

Mustapa berkata, selaras dengan aspirasi DOSM dalam penyediaan statistik terperinci demi membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi membolehkan rakyat mendapat gambaran prestasi pembangunan sosioekonomi negara sehingga ke peringkat lokaliti secara holistik.

 

"DOSM juga sedang melaksanakan Pengukuhan Sistem Statistik Negara bertujuan untuk menambah baik sistem statistik negara yang sedia ada," tambahnya. 

 

Dalam pada itu, menurut beliau, Pusat Analitik Data Raya Negara (NBDAC) perlu diwujudkan bagi menyokong hasrat kerajaan dalam memastikan setiap perancangan dan keputusan berlandaskan analitik data, selaras dengan inisiatif Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

 

"Pewujudan NBDAC membolehkan maklumat diproses secara pantas, real time dan tepat. Oleh itu, keputusan dapat dibuat dengan cepat, tepat dan berkesan," jelas beliau. - DagangNews.com