KUALA LUMPUR 15 Mac - Allianz Life Insurance Malaysia Berhad (Allianz Life) dan HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC Malaysia) memperkenalkan dua dana berkaitan pelaburan baharu, Dana Allianz Life World HealthScience dan Dana Allianz Life ESG-Integrated Multi Asset.
Dana-dana ini bertujuan untuk memperkasakan pelanggan dengan menyediakan akses kepada peluang pelaburan baharu dan menarik, yang menawarkan aset pelbagai kelas.
Dengan pilihan ini, pelanggan boleh menyesuaikan portfolio pelaburan mereka agar sejajar dengan matlamat kewangan dan keperluan perlindungan khusus mereka, memastikan masa depan yang terjamin untuk mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life, Charles Ong berkata dua dana tersebut disepadukan dengan lancar bersama pelan insurans berkaitan pelaburan sedia ada, menawarkan kemudahan dan fleksibiliti untuk pelanggan HSBC.

“Jika pelanggan tidak pasti pilihan terbaik untuk rancangan kewangannya, kami sedia membantu. HSBC dan pasukan profesional berpengalaman Allianz Life tersedia untuk memberikan bimbingan dan sokongan yang diperibadikan untuk membantu pelanggan membuat keputusan termaklum,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
HSBC Malaysia adalah pengedar bankasurans eksklusif untuk produk insurans Allianz Life dalam bidang perlindungan, pendidikan, persaraan, kekayaan dan keperluan legasi sejak 2012.
Bagi HSBC Malaysia, pelancaran dua dana baharu itu melengkapkan rumusan perancangan kekayaan holistik kumpulan perbankan itu, sejajar dengan cita-citanya yang lebih luas untuk menjadi pengurus kekayaan terkemuka di Asia.
Selaku pengurus dana terbabit, BlackRock menekankan kepentingan Dana Allianz Life World Healthscience dalam landskap hari ini, yang mementingkan nilai pendedahan penjagaan kesihatan berkualiti di tengah-tengah keuntungan yang berterusan.
Bagi Dana Allianz Life ESG-Integrated Multi Asset, BlackRock menyerlahkan manfaat strategi berbilang aset yang diurus secara fleksibel dalam mencapai hasil pelaburan yang tepat di samping mengurus risiko dengan berkesan dan memanfaatkan pelbagai peluang.
Ketua Kekayaan Asia Pasifik BlackRock, Andrew Landman berkata dengan memanfaatkan demografi menua dan tema mampan seperti peralihan tenaga mewujudkan peluang pelaburan yang menarik untuk pelabur.
“Memandangkan usaha mencari ekuiti berkualiti dan berdaya tahan terus meningkat pada 2024, pelabur harus melihat untuk menambah pendedahan masing-masing dalam portfolio mereka untuk mencapai kesejahteraan kewangan,” katanya. - DagangNews.com








