Alliance Bank perluas pilihan bantuan bayaran pinjaman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alliance Bank perluas pilihan bantuan bayaran pinjaman

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) memperluaskan Program Bantuan Pembayaran (PRA) untuk menawarkan lebih banyak pilihan bagi membantu komitmen kewangan dalam kalangan golongan B40, M40 dan perusahaan kecil dan sederhana mikro (PKS Mikro).

 

“Kami menyedari ramai individu dan pemilik perniagaan masih bergelut dengan aliran tunai kerana kitaran peniagaan dan pembayaran daripada pelanggan yang lebih perlahan.

 

“Kami memahami situasi mereka dan cuba untuk membantu keperluan kewangan peminjam. Langkah ini bertujuan membantu individu dan perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 selain sejajar dengan inisiatif pembentangan Belanjawan 2021,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Bank,  Joel Kornreich dalam satu kenyataan hari ini.

 

Alliance Bank menawarkan segmen B40 yang berdaftar dengan Bantuan Sara Hidup (BSH) atau kini dikenali sebagai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) pilihan untuk menerima tiga bulan moratorium pembiayaan atau pinjaman, atau 50% pengurangan bayaran ansuran selama enam bulan.

 

Tawaran sama turut diberikan kepada PKS Mikro dengan keuntungan jualan kurang daripada RM300,000 atau mempunyai kurang daripada lima pekerja sepenuh masa.

 

PKS Mikro yang layak perlu mempunyai pinjaman atau pembiayaan sehinga RM150,000 dengan pihak bank berkenaan.

 

Dalam pada itu, segmen M40 yang berdaftar dengan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan menerima 50% pengurangan bayaran ansuran selama enam bulan.

 

“Pihak bank telah melaksanakan pengubahsuaian pinjaman buat pelanggan individu dan perniagaan masing-masing bernilai RM2.9 bilion dan RM2.5 bilion,” tambah Kornreich.

 

Permohonan dibuka bermula 23 November 2020 sehingga 30 Jun 2021 dan pakej itu bakal berkuatkuasa pada 1 Disember 2020.

 

Dalam masa sama, Alliance Bank turut melancarkan saluran WhatsApp yang membolehkan pelanggan memohon bantuan pembayaran pinjaman atau memeriksa status permohonan mereka dengan lebih pantas.

 

Bagi memastikan akaun WhatsApp itu sah, satu ikon tanda hijau dipaparkan di sebelah nama  “Alliance Bank Malaysia” dan “Official Business Account” pada skrin maklumat perniagaan itu. – DagangNews.com