KUALA LUMPUR 30 Ogos - Alibaba.com, platform e-dagang perniagaan kepada perniagaan (B2B) global akan terus melabur di Malaysia dan memperkenalkan inisiatif bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ketua Perniagaan Malaysia Alibaba.com, Rocky Lu berkata, platform itu bersedia untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran domestik dengan melaksanakan program untuk menyokong PKS.
“Ini adalah tahun pertama kami menganjurkan Anugerah Peneraju E-dagang Utama (Anugerah KEL) di Kuala Lumpur.
"Kami menganjurkan majlis anugerah itu bersama pasukan pemerhatian baharu kami pada tahun ini,” katanya.
Lu berkata, Anugerah KEL Alibaba.com menyasar untuk menghimpunkan pembekal terkemuka dari rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara bagi menggalakkan pembelajaran dan kerjasama serta menyediakan peluang kepada peserta untuk memperluas pengaruh mereka dalam komuniti pembeli danpembekal global Alibaba.com.
“Dengan lebih 250 penjual global mengambil bahagian, anugerah ini memberi peluang kepada PKS Malaysia yang terpilih untuk menyerlah,” ujar Lu.
Inisiatif disokong oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu adalah sebahagian daripada komitmen Alibaba.com bagi menyokong pembangunan e-dagang di Malaysia.
Lu berkata, Malaysia mempunyai jumlah median di Asia Tenggara dan masih terdapat banyak PKS tempatan yang berpotensi untuk memanfaatkan platform e-dagang.
“Oleh itu, kami telah melaksanakan inisiatif, termasuk sesi Latihan secara dalam talian dan luar talian serta memberikan panduan kepada PKS tempatan mengenai penggunaan e-dagang dan pada masa yang sama, memenuhi keperluan PKS tempatan,” katanya.
Beliau berkata, Alibaba.com komited untuk menyediakan perkhidmatannya kepada komuniti perniagaan tempatan, termasuk alat bantu pintar yang membolehkan pengguna mencari pembekal mengikut wilayah dan pembeli.
Pertandingan tersebut berakhir dengan pemilihan ketiga-tiga finalis sebagai Duta Alibaba.com Malaysia bagi tahun 2024.
Nicholas Tee Kai Xuen dari LK Tee Enterprise Sdn Bhd telah diberikan pengiktirafan sebagai peneraju e-dagang utama Alibaba.com
Malaysia pada tahun ini dan akan mewakili Malaysia dalam KEL Awards Regional Finale, yang akan berlangsung di Vietnam pada akhir tahun ini.
Acara itu turut menampilkan People’s Choice Award bagi 2024, dengan Sabrina Mah dari ZH First Coffee Sdn Bhd menerima pengiktirafan tersebut berdasarkan undian penonton.
Menurut MATRADE, lokasi strategik Malaysia dan persekitaran perniagaan yang dinamik telah mengukuhkan peranannya dalam landskap e-dagang Asia Tenggara.
Eksport negara meningkat 12.3% kepada RM131.15 billion dengan lebihan dagangan sebanyak RM6.42 bilion dari Januari hingga Julai 2024.- DagangNews.com








