KUALA LUMPUR 19 Mac - Airo, platform pelaburan makro global yang diuruskan secara aktif di Malaysia, memperkenalkan peluang pelaburan patuh syariah baharu bagi memenuhi permintaan pelabur tempatan.
Menurut platform itu, ia telah melancarkan rangkaian portfolio patuh syariah yang inovatif, dengan menyatukan pelaburan beretika dan teknologi kewangan yang terbaik.
Katanya, menerusi portfolio patuh syariah Airo, pelabur Malaysia mempunyai akses langsung ke pasaran pelaburan patuh syariah antarabangsa, sekali gus menikmati lebih peluang pelaburan dan pulangan patuh syariah.
"Antara kriteria penting untuk pelaburan patuh syariah ialah mengelakkan riba (faedah), gharar (ketidakpastian), maysir (perjudian) atau aktiviti tidak bermoral (haram).
"Menurut prinsip syariah, nisbah hutang kepada ekuiti perniagaan dalam portfolio mestilah tidak terlalu tinggi.
"Di samping itu, portfolio patuh syariah juga mempunyai daya tarikan unik melangkaui skop prinsip Islam, dengan memberi penekanan kepada aspek keadilan, perkongsian risiko dan kebertanggungjawaban sosial," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Airo, Sho Toh Yih Jang berkata, pihaknya menawarkan peluang pelaburan yang menyatukan aspirasi kewangan dengan pelaburan yang bertanggungjawab di bawah satu rangka kerja yang mengangkat prinsip syariah.

Beliau berkata, dalam perancangan portfolio, pihaknya memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat dengan pengurusan yang kukuh, yang mengutamakan pertumbuhan mampan berbanding keuntungan jangka pendek.
Katanya, contoh petunjuk utama ini termasuk kestabilan pendapatan, kunci kira-kira yang kukuh dan keupayaan untuk menjana aliran tunai bebas.
"Matlamat utama kami adalah untuk menyediakan peluang pelaburan yang optimum buat pelanggan kami. Sebahagian daripada strategi platform itu juga termasuk memilih saham daripada pasaran saham Amerika Syarikat, khususnya atas sebab permodalan pasarannya yang luas, kecairan pasaran tinggi, kos dan risiko manipulasi pasaran lebih rendah," katanya. - DagangNews.com








