Airbus H160 tampil dengan teknologi canggih raih pengiktirafan CAAM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Airbus H160 tampil dengan teknologi canggih raih pengiktirafan CAAM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis - Generasi enjin berkembar Airbus yang terkini H160 diiktiraf Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), lantas membuka laluan bagi kemasukan rotorkraf ke pasaran Malaysia. 

 

Pengiktirafan itu diterima sejurus selepas pengeluar pesawat berkenaan menerima pensijilan daripada Transport Canada Civil Aviation bagi model tersebut. 

 

H160 juga telah diiktiraf European Union Aviation Safety Agency, US Federal Aviation Administration dan Japan Civil Aviation Bureau. 

 

Pengarah Urusan Airbus Helicopters Malaysia, Axel de Pascal berkata, pengiktirafan yang tepat pada masanya ini membuktikan keyakinan yang dipamerkan negara ini terhadap penawaran terbaru pihaknya yang akan menguasai ruang angkasa Malaysia dalam beberapa bulan yang akan datang. 

 

"Pencapaian ini mempamerkan sepenuhnya jalinan usaha sama yang kukuh diantara Airbus dan CAAM, dalam memastikan akan pelaksanaan penilaian menyeluruh yang mematuhi piawaian keselamatan tertinggi.

 

'Kami teruja untuk menyaksikan H160 menyokong misi kritikal di dalam negara ini tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

H160 merupakan helikopter berinovasi kelas-sederhana yang telah menetapkan standard baru daripada segi aspek keselamatan, keselesaan dan prestasi alam sekitar. 

 

Ia menampilkan teknologi yang paling canggih, merangkumi bilah rotor Blue Edge yang mengurangkan kehingaran, bilah ekor rotor berlengan Fenestron yang memberikan penguasaan beban yang lebih baik, dan suite avionik Helionox untuk mengurangkan beban kerja juruterbang. 

 

H160 dilengkapkan secara unik untuk memenuhi keperluan juruterbang dan juruteknik merentasi semua segmen misi. 

 

Ia memberikan nilai tambah kepada pelanggan melalui penyampaian prestasi dan keupayaan yang dipertingkatkan, daya saing ekonomik, inovasi, keselamatan dan keselesaan. 

 

Melalui pengurangan pengunaan bahan api sebanyak 15% dan pengurangan penghamburan bunyi sebanyak 50%, H160 membolehkan pelanggan untuk mengorak langkah yang lebih besar ke arah mengurangkan jejak alam sekitar mereka. 

 

H160 kini mempunyai pelanggan untuk semua segmen misi dan telah direka bentuk untuk menangani tenaga, penerbangan peribadi dan perniagaan, perkhidmatan perubatan kecemasan, misi mencari dan menyelamat, penguatkuasaan undang-undang, dan ketenteraan. 

 

Di peringkat global, armada H160 merekodkan sejumlah lebih daripada 2,800 jam penerbangan. - DagangNews.com