AirAsia X, Tourism Kazakhstan meterai MoU tingkatkan sektor pelancongan dan ekonomi  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia X, Tourism Kazakhstan meterai MoU tingkatkan sektor pelancongan dan ekonomi 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Mac - Sempena meraikan pencapaian penerbangan sulungnya ke Almaty, Kazakhstan, AirAsia X (AAX) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama-sama Tourism Kazakhstan untuk kerjasama strategik.

 

AAX berkata, MoU itu merangkumi kerjasama dari segi komersial antara syarikat penerbangan itu dan lembaga pelancongan untuk mempromosikan sektor pelancongan antara Kazakhstan dan Malaysia. 

 

Katanya, kerjasama tersebut juga dijangka menawarkan peluang perniagaan baharu, mengembangkan kempen jualan dan pemasaran serta meningkatkan ekonomi kedua-dua negara melalui industri pelancongan.

 

"Sebagai rakan kongsi strategik, AAX bukan sahaja menghubungkan pengembara dari Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara lain ke Almaty malah menghubungkan pengembara dari Almaty ke lebih 130 destinasi lain melalui Kuala Lumpur. 

 

"Syarikat penerbangan ini juga berhasrat untuk memperluaskan sektor pelancongan Malaysia dan Kazakhstan melalui persidangan, pameran pelancongan dan aktiviti menarik lain," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Pada majlis itu, MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail dan Pengerusi Tourism Kazakhstan, Kairat Sadvakassov, yang disaksikan oleh Duta Besar Malaysia untuk Kazakhstan, Mohd Adli Abdullah dan Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun.

 

Benyamin berkata, kerjasama strategik itu merupakan lonjakan penting bagi Malaysia dan Kazakhstan. 

 

 

airasia

 

 

"Tambang kami yang kompetitif menawarkan perjalanan udara berpatutan ke pelbagai destinasi dan menyumbang kepada sektor pelancongan yang membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

 

"Ini membuka peluang pertumbuhan masa hadapan dan pengembangan di rantau ini, selain meningkatkan peluang dalam pelbagai sektor antara Malaysia dan Kazakhstan serta di seluruh Asia Tenggara. 

 

 

airasia

 

 

"Kami berharap kerjasama ini akan menyumbang kepada perkembangan positif untuk Malaysia dan Kazakhstan pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com