Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Ogos - Asia Cargo Network Sdn. Bhd. (ACN) telah mengambil alih sebanyak 51% pegangan saham dalam syarikat Pos Asia Cargo Express Sdn Bhd (“Pos ACE).
Pengambilalihan itu berlangsung setelah ACN dan anak syarikat Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), Pos Aviation Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian penjualan saham.
Pemilik dan Pengarah rusan ACN, Marco Isaak berkata, pengambilalihan saham itu merupakan saat bersejarah buat kedua-dua syarikat.
“Kami berbesar hati apabila diangkat sebagai rakan kongsi bagi meningkatkan lagi perkhidmatan Pos Malaysia yang ditawarkan kepada pelanggan tempatan dan luar negara,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Isaak juga merupakan pemilik penerbangan kargo di Indonesia, Singapura dan rantau ASEAN serta menawarkan perkhidmatan kepada syarikat besar termasuk UPS, DHL, Caterpillar Group dan JNE.
Menerusi pengambilalihan itu, ACN turut akan berkongsi pengalaman dan kemahiran bagi menyokong dan menambahbaik kecekapan perkhidmatan penghantaran surat dan udara Pos Malaysia ke Semenanjung Malaysia sekali gus kembangkan kapabiliti ke sektor antarabangsa.
Sektor penerbangan antarabangsa itu termasuk ke negara-negara China, Hong Kong, Singapura dan Indonesia.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md. Najib Syed Md. Noor berkata, hubungan kerjasama berkenaan membolehkan Pos Malaysia untuk menambahbaik tahap perkhidmatan dan penghantaran di mana penting untuk syarikat itu menjadi pemain utama industri e-perdagangan global.
“Menerusi kerjasama ini, kami menyasarkan untuk memanfaatkan pengalaman dan kepakaran ACN dalam menawarkan perkhidmatan lebih baik termasuk meningkatkan keterhubungan kargo, kecekapan dan kelajuan.
“Rangkaian serantau ACN akan menawarkan peluang bersinergi buat Pos Malaysia memandangkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sedang dibangunkan sebagai hab e-keperluan kargo serantau,” katanya.
Sempena pengambilalihan itu, Pos ACE akan ditukar kepada nama baharu iaitu ‘World Cargo Airlines Sdn Bhd’ yang diinspirasikan oleh kedua-dua ACN dan Pos Malaysia. - DagangNews.com








