Abdul Rahman Ahmad dilantik Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, kembali selepas 5 tahun | DagangNews Skip to main content

Abdul Rahman Ahmad dilantik Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, kembali selepas 5 tahun

Abdul Rahman Ahmad memainkan peranan penting dalam memacu transformasi strategik PNB ketika berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB dari tahun 2016 hingga 2019. / Gambar media
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 April - Datuk Abdul Rahman Ahmad dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkuat kuasa 1 Julai 2024, umum Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) hari ini.

 

Sebelum menjawat jawatan terkini sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) CIMB, Abdul Rahman pernah berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB dari tahun 2016 hingga 2019

 

Abdul Rahman ketika ini merupakan GCEO Kumpulan CIMB serta Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank Berhad, dan telah berkhidmat sejak tahun 2020.

 

PNB dalam kenyataan berkata, Abdul Rahman memainkan peranan penting dalam memacu transformasi strategik PNB ketika berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB dari tahun 2016 hingga 2019

 

"Lembaga Pengarah PNB mengalu-alukan kepulangan Datuk Abdul Rahman dalam menyediakan kesinambungan dan memacu pelaksanaan Pelan Strategik PNB yang baru dibangunkan serta membantu melaksanakan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Abdul Rahman lepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB pada 30 Jun 2024

 

Menurut PNB, pelantikan Abdul Rahman membawa bersama pengalaman kepimpinan lebih 20 tahun dalam pelbagai perkhidmatan kewangan dan sektor korporat.

 

Ini termasuk Malaysian Resources Corporation Berhad, Media Prima Berhad dan Ekuiti Nasional Berhad. 

 

"Datuk Abdul Rahman juga merupakan bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas Sime Darby Berhad dan Velesto Energy Berhad," jelasnya. - DagangNews.com