95,995 kakitangan carum SIP diberhentikan kerja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

95,995 kakitangan carum SIP diberhentikan kerja

Hilang pekerjaan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Seramai 95,995 pekerja yang mencarum di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) telah diberhentikan kerja.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, jumlah yang dicatatkan itu adalah berdasarkan rekod Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) sehingga 13 November 2020.

 

"Faedah yang telah dibayar adalah sebanyak RM290 juta bagi membantu pencarum yang kehilangan pekerjaan mereka.

 

"Bagi sektor penerbangan, perhotelan dan pelancongan, seramai 40,766 pekerja telah berdaftar dengan SIP dan RM110 juta telah diluluskan untuk pembayaran," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021.

 

Dalam penggulungan tersebut, beliau sekali lagi menyatakan isu Malindo Airways yang dibangkitkan dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

 

M Saravanan
M Saravanan

 

Jelas beliau, sehingga 15 November 2020, seramai 1,086 pekerja Malindo Airways telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan faedah SIP.

 

BACA: 749 pekerja Malindo Airways terima faedah SIP RM928,000

 


Mengulas berkaitan dengan sasaran 500,000 peluang pekerjaan yang dicadangkan di bawah Belanjawan 2021, beliau memberitahu, kerajaan menggariskan tiga inisiatif di bawah Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan atau JANAKERJA untuk mencapai sasaran berkenaan.

 

Melalui tiga inisiatif berkenaan, dua daripadanya telah dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM).

 

  • Pertama: Insentif Penjana Kerjaya di bawah PERKESO
  • Kedua: Program Reskilling and Upskilling di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan lain-lain kementerian.

 

Tambah beliau lagi, melalui Insentif Penjana Kerjaya di bawah PERKESO, cadangan peruntukan sejumlah RM2 bilion  dijangka dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada 250 ribu pencari kerja.

 

Manakala di bawah Program Reskilling and Upskilling dengan jumlah peruntukan RM1 bilion adalah bagi pelaksanaan program peningkatan kemahiran dan latihan semula untuk 200 ribu pelatih.

 

Agensi di bawah KSM iaitu PSMB telah diperuntukkan sebanyak RM100 juta yang disasarkan untuk memberi latihan kepada 20 ribu pelatih. - DagangNews.com