88% pemimpin perniagaan kekal yakin dengan globalisasi - laporan Standard Chartered | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

88% pemimpin perniagaan kekal yakin dengan globalisasi - laporan Standard Chartered

KUALA LUMPUR 23 Nov - Kira-kira 88% pemimpin perniagaan global bersetuju bahawa globalisasi berjaya merentas lima tonggak asas iaitu perdagangan, modal, teknologi, bakat dan kemampanan, menurut laporan Standard Chartered.

 

Dalam kenyataan pada Khamis, Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien, berkata, globalisasi memerlukan penjajaran semula ekoran keadaan ketegangan geopolitik semasa yang meningkat, krisis tenaga global, isu rantaian bekalan dan penyusutan pelaburan asing.

 

"Walaupun timbul kebimbangan, pemimpin perniagaan di Malaysia kekal cenderung kepada globalisasi, perdagangan berdaya tahan dan inklusif, aliran modal yang lebih besar untuk merapatkan jurang pembiayaan dalam pasaran yang semakin berkembang, dan untuk lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada kemajuan teknologi.

 

"Mereka semakin sedar mengenai keperluan kerjasama dan hubungan untuk memacu kemampanan dan memastikan pembangunan ekonomi berterusan," katanya.

 

Kertas putih terbaharu bank itu, 'Resetting Globalisation: Catalysts for Change', mendapati pemimpin perniagaan di Malaysia paling yakin mengenai peranan modal dalam globalisasi (75%), walaupun 11% percaya aliran modal di seluruh dunia sewajarnya dikawal, mengatasi mana-mana pasaran lain yang diselidik.

 

"Pemimpin perniagaan Malaysia juga lebih ramai daripada rakan setara mereka di pasaran lain yang diselidik menyatakan perdagangan antarabangsa mencatatkan prestasi baik hanya bagi sebilangan kecil ekonomi (52%).

 

"Namun, seperti pemimpin perniagaan lain, lebih 80% menyatakan globalisasi telah membantu membangunkan lebih banyak rantaian bekalan berdaya tahan dan perkhidmatan global telah mewujudkan peluang yang ketara di negara ini," menurut laporan itu.

 

Laporan itu juga mendapati 78% pemimpin perniagaan percaya perdagangan global membolehkan pembangunan mampan, dengan lebih separuh daripada mereka (58%) berpandangan bahawa negara-negara perlu mengutamakan kemampanan apabila melibatkan pergerakan barangan dan perkhidmatan.

 

63% daripada pemimpin perniagaan di Malaysia juga percaya bahawa penyelesaian bagi perubahan iklim memerlukan pendekatan global, 43% turut menyatakan mereka bersedia berdagang dengan pulangan lebih tinggi untuk pelaburan yang lebih bertanggungjawab.

 

Menerusi kerjasama dengan Bloomberg Media Studios, kertas putih itu memaparkan sentimen lebih 3,000 pemimpin perniagaan global, merentas 20 pasaran di Afrika, Asia, Eropah, Asia Barat dan Amerika Utara, mengenai pemacu globalisasi, termasuk perdagangan, modal, teknologi, bakat dan kemampanan, lapor Bernama.

 

Penyelidikan itu bertujuan mengenal pasti pemangkin perubahan bagi membolehkan model baharu globalisasi berdasarkan lebih keterangkuman untuk perniagaan yang lebih kecil dan pasaran membangun, tahap ketelusan lebih tinggi serta pembangunan yang lebih mampan. - DagangNews.com