613 menara telekomunikasi dibina secara haram sejak 10 tahun lepas di Selangor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

613 menara telekomunikasi dibina secara haram sejak 10 tahun lepas di Selangor

Tindakan penguatkuasaan akan diambil oleh semua 12 PBT di Selangor dengan mengeluarkan notis perobohan ke atas pemilik menara telekomunikasi yang tidak berdaftar.

SHAH ALAM 16 Mac - Sebanyak 613 menara telekomunikasi dikenal pasti dibina secara haram di seluruh Selangor sejak 10 tahun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Ng Sze Han.

 

Ng memaklumkan jumlah itu diperoleh daripada laporan audit hasil Operasi Pemantauan Berkala dan Audit Tapak yang dilaksanakan kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama Yakin Telesel Sdn Bhd (YTSB), akhir tahun lalu. 

 

"Antara kesan kepada kerajaan negeri sekiranya tiada tindakan yang sewajarnya dilaksanakan adalah jangkaan kehilangan hasil sebanyak RM1.2 juta setahun," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Siew Ki (PH-Balakong) yang menanyakan berkenaan jumlah pencawang telekomunikasi yang tidak berlesen, kesan kepada kerajaan negeri dan tindakan yang akan diambil. 

 

Susulan itu katanya, tindakan penguatkuasaan akan diambil oleh semua 12 PBT di Selangor dengan mengeluarkan notis perobohan ke atas pemilik menara telekomunikasi yang tidak berdaftar, haram atau tidak diperbaharui permit, selewat-lewatnya pada 31 Mac. 

 

Ditemui pemberita di lobi Bangunan Dewan Negeri Selangor, Ng berkata kebanyakan syarikat telekomunikasi tersebut mengambil jalan mudah dengan membina pencawang tanpa melalui proses yang sewajarnya termasuk menerima pandangan penduduk dan ulasan daripada jabatan teknikal berkaitan.

 

"Soalan biasa yang diterima adalah kenapa tindakan tidak diambil selama ini, sebenarnya sebelum sesuatu tindakan penguatkuasaan diambil terhadap syarikat telekomunikasi tesebut, kami kena pastikan rangkaian telekomunikasi tidak terjejas dan kami perlu menyediakan alternatif," katanya. 

 

Oleh itu katanya kerajaan negeri dan YTSB akan memastikan rangkaian telekomunikasi di kawasan pencawang yang akan diambil tindakan, tidak terjejas. - DagangNews.com