KUALA LUMPUR 21 Nov - Sebanyak 1,787 kes kebankrapan membabitkan usahawan Bumiputera direkodkan Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) bagi tempoh 2019 hingga September lalu.
Dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memaklumkan, dalam usaha mengurangkan kadar bankrupsi serta meningkatkan kemampanan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk usahawan Bumiputera yang baharu, kementerian melaksanakan pelbagai program dan inisiatif.
Antaranya SME Corp dan Bank Rakyat bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebagai usaha untuk membantu usahawan dalam menyediakan khidmat nasihat pengurusan kewangan dan kredit.
Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) melaksanakan Kursus Asas Keusahawanan (KAK) dan Kursus Urus Tunai bertujuan memberi kefahaman dan pendedahan bagi mengelakkan usahawan dari menghadapi masalah kewangan dalam perniagaan.
SME Bank melalui Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR) memberi khidmat nasihat perniagaan dan menyediakan latihan keusahawanan bagi mempertingkatkan kemahiran dalam menguruskan perniagaan termasuk pengurusan kewangan.
Menurut KUSKO, TEKUN Nasional mewajibkan kehadiran penerima pembiayaan untuk menghadiri Seminar Asas Keusahawanan (SAK) bagi meningkatkan pengetahuan dan kefahaman usahawan mengenai pengurusan kewangan perniagaan, lapor Berita Harian.
Ia bagi menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan jumlah usahawan Bumiputera yang dikenakan status bankrup dan apakah strategi digunakan bagi mengurangkan kadar bankrupsi dalam kalangan usahawan Bumiputera yang baharu serta meningkatkan kemampanan golongan terbabit.
Menurut KUSKOP, agensi kementerian seperti SME Bank, TEKUN Nasional, Pernas dan Bank Rakyat juga menyediakan bantuan bagi membantu usahawan yang terkesan melalui penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman dengan melanjutkan tempoh pembiayaan pada kadar bayaran balik yang rendah. - DagangNews.com








