Saya nak anjur Kursus Poligami untuk masyarakat: Siapa setuju? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 10 May 2023
parafrasa

SAYA NAK ANJUR KURSUS POLIGAMI UNTUK MASYARAKAT: SIAPA SETUJU?

 

 

BERTITIK-TOLAK dari penulisan saya sebelum ini, dapatlah disimpulkan bahawa trend untuk suami berpoligami di Malaysia semakin meningkat terutamanya yang menikah di sempadan. Suka atau tidak inilah hakikatnya dan trend ini menyumbang kepada banyak masalah pada masa hadapan.

 

Pernikahan di sempadan selain daripada menimbulkan ketegangan dan konflik di dalam rumahtangga sedia ada, jika tidak didaftarkan segera melalui proses perundangan di Malaysia akan menimbulkan pula masalah apabila pendaftaran kelahiran anak tidak boleh dibuat kerana ketiadaan sijil nikah Malaysia.

 

Ini belum termasuk kes di mana suami mati dan tuntutan harta pusaka akan bermasalah baik dari segi perundangan mahupun perbalahan di antara isteri pertama dan kedua.

 

Daripada ‘engagement’ saya dengan kes-kes sebegini, dapatlah disimpulkan bahawa jika tanpa ilmu yang mencukupi, memang poligami di sempadan lebih banyak menimbulkan pelbagai masalah berbanding dengan manfaat.

 

Hakikatnya lelaki memang suka berpoligami. Kenapa mereka berpoligami adalah satu persoalan misteri yang tiada jawapan tuntas daripada dahulu sehinggalah ke hari ini. Sebelum artikel ini, sudah pun saya huraikan beberapa sebab ‘famous’ yang selalu diguna pakai oleh suami untuk menjustifikasi tindakan mereka.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ulasan juju: Kenapa suami berpoligami di sempadan? Siri 3

 

Untuk mencegah perbuatan poligami di sempadan ini mungkin sukar. Ia adalah satu perbuatan yang tidak salah dari segi hukum syarak, cumanya ia melanggar peraturan di Malaysia. Jadi apa yang mesti kita lakukan untuk secara tuntas berdepan dengan cabaran ini?

 

Hasil input daripada beberapa orang kawan yang terlibat secara langsung dalam proses poligami, saya bercadang untuk menganjurkan KURSUS BERPOLIGAMI kepada suami isteri yang bakal melalui gerbang poligami (seramnya ayat ini!). Kursus ini objektifnya sama seperti kursus perkahwinan yang dianjurkan bagi bakal pengantin muda yang akan bernikah.


 

parafrasa

 


Jika bakal pengantin muda melalui kursus perkahwinan bagi menyediakan diri dari segi mental, emosi dan fizikal untuk berdepan tanggungjawab sebagai suami dan isteri, KURSUS POLIGAMI yang saya cadang nak buat ini juga akan menyediakan para suami dan isteri dengan ilmu berpoligami yang cukup.

 

Semasa saya mula mendapat idea ini dan saya kemukakan kepada isteri saya untuk mendapat reaksinya, dia membangkang sekeras-kerasnya.

 

Isteri saya juga mengingatkan saya bahawa saya mesti bersedia untuk dihentam oleh masyarakat terutamanya para isteri kerana kursus ini seolah-olahnya menggalakkan dan memudahkan para suami untuk berpoligami. Tiada sesiapa yang berani menghadiri kursus ini, katanya.

 

Namun saya mempunyai pandangan yang berbeza. Sama ada para isteri suka atau tidak, suami kalau mahu berpoligami tetap akan meneruskan niatnya. Jika dia merasakan susah untuk melalui prosedur itu di Malaysia, dia akan ke sempadan.

 

Perbincangan saya dengan para suami ini menunjukkan bahawa kebanyakan mereka mengambil jalan singkat ini kerana didorong oleh kawan-kawan yang pernah melalui pengalaman itu.

 

Mereka memandang enteng kesan tindakan itu kerana kawan-kawan mereka ini bukannya bercerita tentang hukum, undang-undang, tanggungjawab suami atau kesan psiko sosial kepada institusi keluarga yang berpoligami sebaliknya hanya bercerita tentang betapa mudahnya nak berpoligami di sempadan dan betapa seronoknya beristeri baru. Siap bagi nombor telefon pihak yang menguruskan poligami di sana lagi.

 

Daripada si suami hanya mendengar tentang keseronokan nikah di sempadan, lebih baik jika si suami itu hadir ke KURSUS POLIGAMI yang akan saya anjurkan ini untuk faham sepenuhnya apa yang menunggu mereka di hadapan.


   

parafrasa

 


Silibus kursus ini dirangka teliti dengan bantuan pakar perundangan supaya si suami faham sepenuhnya apakah dia hukum syarak yang terkait dengan poligami.

 

Antaranya ialah tentang kelayakan untuk berpoligami dan sebab-sebab dibenarkan poligami dalam Islam.  Apakah tuntutan Islam berkaitan tanggungjawab suami berpoligami kepada isteri-isteri dan keluarganya. Bagaimana pula si suami mahu berlaku adil kepada semua isterinya.

 

Turut akan diterangkan ialah prosedur untuk berpoligami di Malaysia. Suami akan tahu dengan jelas apakah proses-proses yang perlu dilaluinya dan kenapa ia penting untuk dipatuhi. Bab prosedur undang-undang inilah yang paling tidak disukai oleh suami kerana dia merasakan ia membebankan.

 

Sebenarnya ia mudah jika si suami memberi peluang kepada dirinya sendiri untuk duduk mendengar dan memahaminya. Pada saya jika benarlah si suami ingin berpoligami, adalah lebih baik dia berpoligami di Malaysia daripada bertindak ke sempadan. Berpoligami di sempadan akan memberi pelbagai kesan negatif kepada keluarga dan terdedah kepada fitnah.

 

KURSUS POLIGAMI ini juga akan menyentuh kes-kes poligami yang telah berlaku di Malaysia baik yang positif atau negatif. Peserta kursus akan mendengar sendiri pengalaman daripada suami dan isteri yang telah melalui pengalaman itu. Adalah lebih baik suami mendengar dan mempertimbang buruk-baiknya dari orang yang telah melalui sendiri pengalaman itu.

 

Turut akan dibentangkan ialah hak-hak isteri apabila suami itu ingin atau telah pun berpoligami. Isteri memang akan trauma apabila tahu suaminya ingin atau telah berpoligami. Saya kasihan melihat isteri yang terpaksa melalui tahap kemurungan dan tekanan emosi ini.

 

Namun saya suka menasihatkan para isteri supaya memandang ke hadapan. Tiada apa yang anda boleh lakukan jika suami anda memang telah memasang hasrat untuk bernikah lagi.

 

Takdir itu memang telah tertulis di luh mahfudz (kata para suami). Jadi perkara paling wajar dibuat (walaupun sukar) ialah untuk menerima hakikat itu tapi pastikan hak anda dan anak-anak terjamin.  


 

parafrasa

 


Tuntutlah harta sepencarian yang sewajarnya serta pastikan nafkah anda dan anak-anak dijaga dengan baik oleh suami. Pastikan juga hak bermalam dan tanggungjawab-tanggungjawab lain dilunaskan sesempurna mungkin oleh suami anda. Jika dia gagal berlaku adil, anda sudah tahu apa tindakan yang boleh anda ambil.  

 

Atas sebab itu saya tegaskan pada isteri saya bahawa KURSUS POLIGAMI yang akan saya anjurkan ini bukan sahaja perlu dilalui oleh para suami malah isteri juga. Kedua-dua pihak mesti faham sepenuhnya kesan hukum, undang-undang dan psiko sosial perbuatan ini.

 

Keluar dari kursus ini si suami akan faham sepenuhnya bahawa poligami itu bukan sahaja bercerita tentang keseronokan tetapi juga tanggungjawab yang berat. Para isteri pula akan faham apakah hak-haknya apabila si suami berpoligami.

 

Selepas menyertai kursus ini, dua kemungkinan mungkin berlaku. Yang pertama, si suami akan mendapat maklumat sepenuhnya tentang poligami dan akan meneruskan niatnya dengan mengemukakan permohonan poligami di mahkamah syariah Malaysia. Dia merasa lebih yakin untuk bertindak kerana kesemua aspek teknikal undang-undang dan  hukum telah difahaminya. Dia akan menjadi suami berpoligami yang lebih adil dan matang.

 

Kemungkinan kedua ialah si suami akan membatalkan niatnya untuk berpoligami kerana selepas mengetahui sepenuhnya perihal hukum, undang-undang dan tanggungjawab, dia akan tahu bahawa poligami itu tidaklah seseronok yang diceritakan kepadanya oleh kawan-kawan.

 

Idea saya ini memang ‘out ouf the box’ dan kontroversi. Namun saya merasakan sesuatu tindakan atau pilihan perlu dihidangkan kepada masyarakat untuk memastikan perbuatan poligami di sempadan ini dapat dikurangkan walaupun tidak dapat dibasmi sepenuhnya.


 

parafrasa

 


Biarlah poligami itu belaku di Malaysia mengikut saluran undang-undang kita supaya kepentingan semua pihak terjaga.

 

Siapa yang setuju saya anjurkan KURSUS POLIGAMI ini ? Sila ‘like’

  

 

ariffinsabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

ariffinsabirin

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags