Pertikaian MSM dan Ranhill belum selesai, rundingan disambung Ogos ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertikaian MSM dan Ranhill belum selesai, rundingan disambung Ogos ini

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Julai – Pertikaian undang-undang antara anak syarikat MSM Malaysia Holdings Bhd dan Ranhill Water Technologies Sdn Bhd (RWT) masih belum selesai apabila kedua-dua pihak akan meneruskan rundingan yang dijadual berlangsung pada 27 Ogos depan.

 

Walaupun usaha mencapai penyelesaian masih diteruskan, Mahkamah Tinggi tidak menangguhkan proses perbicaraan, sebaliknya mengekalkan semua tarikh penting bagi memastikan kes itu dapat diteruskan sekiranya rundingan gagal mencapai persetujuan.

 

Perkembangan itu diberitahu MSM Malaysia Holdings dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia selepas sesi rundingan yang berlangsung pada 29 Julai lalu.

 

 

 

 

 

Dalam sesi tersebut, hakim mencadangkan supaya kedua-dua pihak meneruskan rundingan bagi mencapai persetujuan tanpa perlu melalui perbicaraan penuh.

 

Mahkamah pada masa sama menetapkan laporan pakar perlu difailkan selewat-lewatnya pada 30 September, manakala laporan pakar balasan perlu dikemukakan sebelum 30 Oktober 2026 sebagai sebahagian daripada persediaan perbicaraan.

 

Rundingan Damai Diteruskan

Tindakan mahkamah yang mengekalkan jadual itu memberi isyarat rundingan dan persediaan perbicaraan akan berjalan serentak sehingga kedua-dua pihak mencapai kata sepakat atau sebaliknya.

 

Kes berkenaan membabitkan anak syarikat MSM, MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd (MSM Johor), dan RWT yang telah melalui beberapa siri pengurusan kes serta perbincangan sejak prosiding undang-undang dimulakan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MSM disaman Ranhill berhubung penamatan projek loji rawatan sisa buangan di Tanjung Langsat

 

Mahkamah turut menetapkan 21 September depan sebagai tarikh pengurusan kes berikutnya bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai rundingan serta penyediaan dokumen sebelum perbicaraan.

 

Sekiranya tiada penyelesaian dicapai menerusi rundingan, perbicaraan dijangka diteruskan mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh mahkamah.

 

Buat masa ini, kedua-dua pihak masih diberi ruang untuk mencapai penyelesaian tanpa perlu menunggu sehingga kes dibicarakan.

 

MSM Akan Umum Jika Ada Perkembangan Baharu

MSM berkata, sebarang perkembangan material berkaitan kes tersebut akan diumumkan kepada Bursa Malaysia dari masa ke semasa sekiranya terdapat keputusan atau perubahan yang boleh memberi kesan kepada syarikat.

 

 

 

 

 

Kes pertikaian itu turut mendapat perhatian ramai kerana melibatkan dua entiti syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dengan FGV Holdings Berhad sendiri merupakan pemegang kepentingan utama dalam MSM.

 

Sementara Ranhill Water Technologies merupakan anak syarikat kepada Ranhill Utilities Berhad, yang turut ada dipegang oleh pihak kerajaan Johor dan Permodalan Darul Ta'zim Sdn Bhd. - DagangNews.com