KUALA LUMPUR 4 Sept — Keperluan KJTS Group Berhad membiayai RM11 juta kos naik taraf empat sistem penyejukan di Thailand menjadi antara masalah yang perlu ditangani kumpulan, menurut Kenanga.
Firma penyelidikan itu namun menilai projek berkenaan yang dimeterai subsidiari KJTS di negara tersebut, KJTN Engineering Company Limited, akan menawarkan aliran hasil berulang bagi tempoh 20 tahun.
Ujarnya, kontrak yang melibatkan empat perjanjian dengan Central Plaza Hotel Public Company Limited (Centel) bagi kerja naik taraf, operasi dan penyelenggaraan (O&M) serta bekalan air sejuk di empat hotel.
"Kami yakin modal kos naik taraf itu akan dibiayai KJTS melalui dana dalaman atau pinjaman bank, dengan kerja pengubahsuaian dijangka dapat siap akhir Februari 2027," jelas Kenanga dalam analisisnya.
Bagaimanapun, ia melihat kedudukan kewangan kumpulan masih mampu menyokong keperluan pembiayaan itu, memandangkan nisbah hutang kasar yang kecil hanya 0.23 kali setakat 30 Jun 2026.
Selepas kerja naik taraf selesai, tempoh O&M dan bekalan air sejuk berlangsung hingga Februari 2047, dengan jumlah fi tetap RM48 juta atau RM2.4 juta setahun, tidak termasuk fi yang berubah.

Justeru, Kenanga positif terhadap kontrak itu kerana tempoh 20 tahun mengukuhkan asas pendapatan berulang KJTS, dan memperluas kehadiran kumpulan dalam perkhidmatan kecekapan tenaga di Thailand.
"Dengan andaian struktur pembiayaan hutang kepada ekuiti 80:20 dan fi berubah 0.14 sen/RTh, kami menganggarkan projek ini menjana pulangan dalaman (IRR) pada paras satu digit tinggi," tambahnya.
Centel juga merupakan pelanggan sedia ada KJTN sebelum ini menerusi tiga projek berkaitan sistem penyejukan, sekali gus membuka peluang cerah kepada banyak lagi projek tambahan pada masa depan.
Kemenangan terbaharu itu ujar Kenanga, turut mengukuhkan rekod KJTS di Thailand apabila kumpulan meraih satu projek penyejukan berskala besar kurang dua tahun selepas kontrak pada April 2025.
Sehubungan itu, ia mengekalkan prospek positif dengan Thailand dilihat sebagai pasaran pertumbuhan utama susulan peningkatan penggunaan inisiatif kecekapan tenaga dan penyahkarbonan dalam bangunan.
Ia juga menaikkan unjuran hasil FY26 dan FY27 masing-masing 2% dan 5%, selain menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.60 daripada RM1.57 sesaham serta mengekalkan saranan 'outperform'. - DagangNews.com








