Keindahan pantai, layanan mesra jadikan Terengganu tuan rumah terbaik RXZ Members | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keindahan pantai, layanan mesra jadikan Terengganu tuan rumah terbaik RXZ Members

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 31 Julai -- Jika ditanya mengapa ribuan pemilik Yamaha RXZ dari seluruh negara sanggup menghabiskan ratusan kilometer perjalanan setiap tahun untuk menghadiri RXZ Members di Terengganu, jawapannya bukan sekadar kerana program itu semakin dikenali sebagai antara himpunan motosikal terbesar di Malaysia.

 

Sebaliknya, Terengganu menawarkan satu pengalaman yang sukar diperoleh di negeri lain. 

 

Daripada keindahan laluan pesisir pantai, layanan masyarakat setempat sehinggalah suasana yang menyatukan komuniti peminat motosikal, semuanya menjadikan Terengganu sinonim dengan RXZ Members.

 

Penganjur program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, itu antara faktor yang menjadi daya tarikan Terengganu dan sering menjadi sebutan peserta setiap kali program berakhir.

 

"Mereka sering berkongsi kenangan istimewa di media sosial dan pengalaman ini tidak akan sama dengan lokasi lain kerana banyak juga penganjuran himpunan serupa, namun Terengganu tetap menjadi pilihan tuan rumah yang utama.

 

"Sama juga dengan penganjuran edisi ke-8 yang membuka tirai hari ini, kemeriahannya sudah mula dirasai sejak awal tahun lagi.

 

"Bagi kebanyakan peserta, perjalanan dengan jentera dua lejang menuju ke Terengganu bukan sekadar destinasi biasa, sebaliknya satu percutian yang boleh menyegarkan minda dari kesibukan kerja," katanya ketika dihubungi DagangNews.

 

Laluan pesisir pantai antara yang tercantik di Malaysia

Dengan jajaran pantai sepanjang 244 kilometer bermula dari Besut hingga ke Kemaman, negeri ini menawarkan pemandangan Laut China Selatan yang menjadi kegemaran penunggang motosikal.

 

Laluan yang menghubungkan kawasan pantai, perkampungan nelayan, pekan kecil dan pusat tumpuan pelancongan memberi pengalaman tunggangan yang berbeza dan menjadi antara faktor ramai peserta memilih untuk kembali setiap tahun.

 

t
Setiap tahun, penduduk Terengganu akan menunggu di jejantas untuk menyambut ketibaan peserta RXZ Members

 

Keramahan rakyat Terengganu tinggalkan kenangan di jiwa

Lebih daripada keindahan alam, layanan mesra rakyat Terengganu yang menganggap peserta sebagai keluarga menjadi perkara yang sering disebut oleh mereka.

 

Sejak ketibaan peserta bermula 30 Julai 2026, penduduk tempatan dilihat memenuhi beberapa jejantas dan laluan utama sambil mengibarkan sepanduk serta melambaikan tangan sebagai tanda mengalu-alukan kehadiran mereka.

 

Di beberapa lokasi, lebih 100 penduduk berkumpul bagi menyambut konvoi yang melalui kawasan berkenaan dan ada yang membuat siaran langsung di media sosial masing-masing.

 

ARTIKEL BERKAITAN: RXZ Members 8.0 fokus sifar kemalangan maut, peserta digesa elak aksi berbahaya

 

Walaupun ringkas, sambutan itu memberikan makna yang cukup besar kepada peserta kerana membuatkan mereka berasa dihargai dan diterima seperti ahli keluarga sendiri.

 

Semangat itu juga mencerminkan budaya masyarakat Terengganu yang terkenal dengan sifat mesra dan menghormati tetamu tanpa mengira latar belakang mereka.

 

Peniaga rebut peluang tawar promosi khas

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, kemeriahan RXZ Members turut memberi limpahan rahmat kepada sektor perniagaan tempatan dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung sepanjang program dua hari itu berlangsung.

 

"Saya difahamkan, banyak homestay, restoran, kedai aksesori motosikal serta pelbagai premis perniagaan mengambil peluang menawarkan diskaun dan promosi khas kepada peserta.

 

"Langkah itu bukan sahaja menghargai kehadiran komuniti RXZ, malah membantu merancakkan aktiviti ekonomi sepanjang program berlangsung.

 

"Sejak empat bulan lepas, dimaklumkan semua homestay dan chalet sudah penuh dengan tempahan dari peserta RXZ Members. Ramai yang suka datang ke Terengganu kerana usahawannya terkenal ramah mesra dan tidak terlalu berkira," katanya.

 

Makanan jadi tarikan yang sukar ditolak


Terengganu juga terkenal dengan kepelbagaian makanan tradisional yang sentiasa menjadi buruan pengunjung.

 

Nasi dagang, keropok lekor, sata, ikan bakar dan sotong celup tepung antara menu yang menjadi pilihan peserta setiap kali berkunjung ke negeri ini.

 

Selain rasanya yang mendapat pujian, harga makanan yang masih berpatutan turut menjadi kelebihan Terengganu berbanding beberapa destinasi pelancongan lain.

 

t

 

Mahu buktikan komuniti RXZ semakin matang

Di sebalik kemeriahan program, komuniti RXZ turut membawa satu harapan besar tahun ini iaitu memastikan penganjuran RXZ Members 8.0 berlangsung tanpa sebarang kemalangan maut yang disambut baik oleh pihak berkuasa.

 

Baru-baru ini, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata pihaknya mahu memastikan acara berkenaan berlangsung dalam keadaan selamat dan terkawal, selain memberi ruang kepada peminat motosikal untuk hadir tanpa berasa bimbang akan dikenakan tindakan sekiranya mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

 

Beliau turut memberi jaminan tiada operasi besar-besaran diadakan, namun tiada kompromi sekiranya berlaku sebarang kesalahan melibatkan undang-undang.

 

Situasi itu disambut positif oleh komuniti RXZ dan kesedaran mereka semakin jelas apabila ramai peserta saling mengingatkan supaya menunggang secara berhemah, mematuhi undang-undang jalan raya dan mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.

 

Mereka mahu membuktikan komuniti RXZ hari ini lebih matang dan bertanggungjawab.

 

Bagi mereka, tujuan utama hadir ke Terengganu bukan untuk berlumba atau melakukan aksi berbahaya di jalan raya, sebaliknya mengeratkan silaturahim dengan rakan-rakan yang berkongsi minat terhadap motosikal legenda itu.

 

Malah, semangat persaudaraan yang terbina selama bertahun-tahun dianggap jauh lebih bernilai daripada mengejar populariti atau menunjukkan kehebatan di atas jalan raya.

 

Jika hasrat itu dapat direalisasikan, RXZ Members 8.0 bukan sahaja akan dikenang sebagai himpunan motosikal terbesar negara, malah menjadi bukti bahawa peserta ini mampu dikenali sebagai sebuah komuniti yang matang, berdisiplin dan bertanggungjawab. - DagangNews.com