Harga bahan api jet melonjak, MAG jangka tekanan kewangan pada FY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga bahan api jet melonjak, MAG jangka tekanan kewangan pada FY2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Sept – Malaysia Aviation Group (MAG) menjangkakan tahun kewangan 2026 (FY2026) akan berdepan tekanan besar terhadap kedudukan kewangannya susulan kenaikan ketara harga bahan api jet akibat konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, kenaikan harga bahan api itu memberi tekanan tambahan kepada kewangan Kumpulan dan berisiko memberi kesan kepada prestasi keseluruhan MAG bagi tahun ini.

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata, harga bahan api jet berada pada paras sekitar AS$160 setong semalam, selepas sebelum ini dilaporkan mencecah paras tertinggi AS$230 setong baru-baru ini.

 

“Peningkatan mendadak harga bahan api merupakan cabaran besar bukan sahaja kepada MAG, malah turut memberi kesan kepada keseluruhan industri penerbangan global.

 

“Bagaimanapun, MAG mencatatkan prestasi operasi yang baik dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini dan merekodkan keuntungan sebelum kesan daripada krisis di Asia Barat mula dirasai,” katanya.

 

Kurangkan kapasiti penerbangan secara terpilih

Bagi mengawal peningkatan kos dan melindungi prestasi kewangan kumpulan, MAG kini memantau keadaan pasaran dengan teliti serta melakukan pelarasan terpilih terhadap rangkaian penerbangannya.

 

Kapten Nasaruddin berkata, kumpulan itu mengambil pendekatan berhati-hati dengan melakukan pengurangan secara berfokus terhadap destinasi tertentu, berbanding mengurangkan operasi penerbangan secara menyeluruh.

 

Katanya, MAG setakat ini telah mengurangkan kira-kira 5% daripada kapasiti tempat duduk tersedia atau available seat kilometres (ASK), membabitkan kira-kira 8,000 penerbangan daripada keseluruhan jadual penerbangannya.

 

“Kumpulan akan terus memantau permintaan dan keadaan pasaran setiap hari bagi menentukan pasaran serta laluan yang perlu dikekalkan untuk menyokong prestasi kewangan MAG.

 

“Sebagai syarikat penerbangan nasional, adalah penting untuk MAG terus beroperasi dan memastikan penerbangan tertumpu kepada pasaran yang tepat serta laluan yang mampu menjana keuntungan bagi menyokong pertumbuhan negara,” katanya.

 

MAG harap sokongan kerajaan kurangkan tekanan kos

Menyentuh mengenai sokongan kerajaan terhadap industri penerbangan, khususnya menjelang pembentangan Belanjawan 2027, Kapten Nasaruddin berkata kerajaan sebelum ini telah memberi sokongan kepada MAG dan syarikat penerbangan lain ketika industri berdepan persekitaran operasi yang mencabar.

 

Beliau berkata, MAG turut mengadakan perbincangan secara berkala dengan kerajaan mengenai langkah yang boleh membantu mengurangkan tekanan kos operasi, termasuk beberapa caj berkaitan lapangan terbang.

 

Menurutnya, industri penerbangan kini berdepan pelbagai cabaran, dengan kenaikan harga bahan api menjadi antara tekanan utama yang perlu ditangani oleh syarikat penerbangan.

 

Lindung nilai bahan api bantu MAG tangani kenaikan harga

Dalam pada itu, Kapten Nasaruddin berkata, MAG telah melaksanakan strategi lindung nilai bahan api bagi kira-kira 36% hingga 50% daripada keperluan bahan apinya.

 

Katanya, kumpulan itu melakukan lindung nilai bahan api setiap suku tahun dan akan terus menilai strategi berkenaan sehingga 2027 berdasarkan pergerakan harga bahan api di pasaran.

 

 

 

 

 

 

“Strategi semasa MAG adalah melaksanakan lindung nilai secara berterusan dalam tempoh 12 bulan dan menyesuaikan pendekatan tersebut mengikut keadaan pasaran,” katanya. 

 

Menurutnya, strategi lindung nilai yang dilaksanakan sebelum ini telah banyak membantu MAG dalam menguruskan kos bahan api dan menyokong prestasi kewangan kumpulan pada masa lalu. - DagangNews.com