Formosa Prosonic kembali catat untung bersih RM14 juta bagi 2QFY26 dengan aset cecah RM497 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Formosa Prosonic kembali catat untung bersih RM14 juta bagi 2QFY26 dengan aset cecah RM497 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 5 OgosFormosa Prosonic Industries Berhad berjaya kembali mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM13.92 juta bagi tempoh suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2026 (2QFY26).

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, perkembangan positif itu sekali gus menyaksikan kumpulan pulih semula daripada kerugian bersih RM819,000 yang pernah direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.

 

Prestasi tersebut ujarnya, dipacu peningkatan hasil jualan secara ketara, serta pengurangan drastik dalam kategori perbelanjaan lain daripada RM17.47 juta kepada hanya RM3.99 juta bagi suku tersebut.

 

"Hasil bagi suku ini turut melonjak kepada RM182.95 juta, berbanding RM109.76 juta pada 2QFY25," jelas Formosa yang merupakan syarikat pengeluar sistem pembesar suara dan ditubuhkan sejak 1988.

 

Kumpulan itu turut merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM17.57 juta, yang disifatkan sebagai peningkatan besar berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) RM1.75 juta pada suku sama FY25.

 

Formosa Prosonic_DagangNews2026

 

Bagi tempoh kumulatif enam bulan berakhir 30 Jun 2026, ia mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM16.51 juta, meningkat daripada hanya RM9.85 juta dicatatkan bagi tempoh yang sama tahun lalu. 

 

Tambah Formosa, pendapatan sesaham (EPS) kumpulan berkenaan sepanjang suku tersebut meningkat kepada 5.20 sen berbanding kerugian sesaham 0.32 sen pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

"Setakat 30 Jun 2026, kedudukan kewangan syarikat kekal stabil dengan jumlah aset sebanyak RM496.94 juta, walaupun terdapat penurunan tunai dan kesetaraan tunai kepada RM224.49 juta," katanya lagi.

 

Penyusutan berkenaan jelasnya, disebabkan langkah pembayaran dividen dilaksanakannya yang berjumlah kira-kira RM241.54 juta dalam tempoh kewangan tersebut. - DagangNews.com