KUALA LUMPUR 3 Ogos – Lebih 200 jenama tempatan dan antarabangsa berhimpun dalam satu sesi khas anjuran 118 Mall sebagai persediaan menjelang pembukaan rasmi pusat beli-belah itu pada November ini.
Majlis yang diadakan di Park Hyatt Kuala Lumpur itu menghimpunkan pelbagai jenama yang bakal mengisi ruang perniagaan di 118 Mall, sekali gus memperlihatkan kesediaan pusat beli-belah berkenaan untuk muncul sebagai antara destinasi beli-belah dan gaya hidup baharu di ibu negara.
Antara jenama utama yang bakal beroperasi di 118 Mall ialah Village Grocer dan Makanism Foodhall, di samping pelbagai jenama fesyen, gaya hidup serta makanan dan minuman terkenal dari dalam dan luar negara.
Jenama seperti Adidas, Aldo, Converse, Foot Locker, Guess, Lacoste, Benjamin Barker, Chagee Signature, Nara Thai dan Honolu Ramen turut mengambil bahagian dalam sesi itu, selain Babyshop, Best Denki, BookXcess dan Happikiddo yang menyasarkan segmen keluarga.
Kepelbagaian jenama tersebut mencerminkan strategi 118 Mall untuk menawarkan pengalaman membeli-belah yang memenuhi citarasa pelbagai kumpulan pengguna, daripada keluarga dan golongan muda hinggalah kepada pelancong domestik serta antarabangsa.
Merdeka 118 Bakal Jadi Destinasi Gaya Hidup Baharu
Selain jenama antarabangsa, 118 Mall turut menyediakan sebuah ruang khas yang menghimpunkan jenama tempatan seperti Banglo 289, Batik Boutique, Bayu Somerset dan Cookiecrumbs.
Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, Datuk Izwan Ibrahim berkata, 118 Mall dibangunkan sebagai komponen penting dalam Presint Merdeka 118 yang menggabungkan elemen peruncitan, hospitaliti, pelancongan, warisan dan kebudayaan dalam satu pembangunan bersepadu.
Menurut beliau, gabungan elemen tersebut akan mewujudkan sebuah destinasi yang membolehkan pengunjung membeli-belah, menginap, meneroka pelbagai tarikan serta menikmati aktiviti dari siang hingga malam.
Sementara itu, Ketua Bahagian Peruncitan 118 Mall, Sue Wang berkata, pusat beli-belah berkenaan akan menawarkan pengalaman yang lebih menyeluruh menerusi gabungan makanan, fesyen, reka bentuk, seni dan budaya.
Beliau berkata, pada tahun pertama operasinya, 118 Mall menyasarkan sehingga 22 juta pengunjung, didorong oleh kelebihan lokasi strategiknya dalam pembangunan Merdeka 118 yang dijangka menarik kehadiran pelancong dan pengunjung dari dalam serta luar negara.
Lebih 300 Lot Runcit Menanti Pengunjung
Dalam sesi tersebut, para peserta turut diberi taklimat mengenai pelan pemasaran dan promosi yang akan dilaksanakan bagi membantu jenama meningkatkan keterlihatan serta menarik lebih ramai pelanggan selepas pusat beli-belah itu dibuka.
Antara kemudahan yang bakal dimanfaatkan ialah skrin anamorfik (anamorphic) di Aras 4 dan ruang acara khas yang disediakan untuk pelbagai aktiviti promosi serta pengaktifan jenama sepanjang tahun.
Terletak bersebelahan Menara Merdeka 118, bangunan kedua tertinggi di dunia, 118 Mall akan menempatkan lebih 300 lot runcit dan kedai utama yang akan mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi beli-belah, gastronomi dan gaya hidup utama di Kuala Lumpur apabila mula beroperasi pada November ini. - DagangNews.com








