Saya bukan orang yang asing dengan idea meninggalkan Malaysia. Sejak muda, saya sudah menjejakkan kaki ke New Zealand untuk menuntut ilmu, dari Tingkatan Tujuh di Wainuiomata berhampiran Wellington sehinggalah ke Universiti Waikato di Hamilton.
Selepas tamat pengajian, saya berjaya mendapatkan status Penduduk Tetap (PR) di sana, sebuah pengiktirafan yang ramai orang sanggup berhabis wang dan masa bertahun-tahun untuk memperolehnya.
Tetapi saya pulang ke Malaysia, bekerja sambilan kerana keadaan ekonomi yang masih teruk, menjadi penulis di Gila-Gila, penterjemah di NST, pensyarah di Chow Kit, menyertai syarikat komputer dan TV3 dalam bidang IT dan pengurusan korporat, serta menetap di SS7, Kelana Jaya sejak 1990.
Perjalanan mencari "rumah kedua" itu tidak berhenti di situ. Pada 2004, saya sekali lagi memperoleh PR, kali ini bukan sekadar mengulang sejarah, tetapi menjadi bukti bahawa dunia luar sentiasa membuka pintu untuk saya.
Kemudian pada 2015, saya turut ditawarkan PR Kanada, sebuah negara yang sering disenaraikan antara yang terbaik di dunia dari segi kualiti hidup dan sistem kesihatan.
Tetapi sekali lagi, saya memilih untuk tidak pergi. Bukan kerana tiada peluang, tetapi kerana ada sesuatu tentang Malaysia yang tidak dapat digantikan oleh mana-mana angka dalam indeks antarabangsa.
Sepanjang hayat saya, saya turut berkhidmat hampir dua dekad di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu. Saya bekerja di Dubai Internet City, Dubai Media City, Dubai Telecom, malah dengan syarikat milik Yusuf Islam (Cat Stevens) dan Nakheel, pemaju hartanah terbesar UAE.
Saya telah melangkah ke lebih 60 buah negara sepanjang kerjaya dan kehidupan saya. Saya sudah melihat menara pencakar langit Dubai, ketenangan kampung di New Zealand dan struktur bandar moden negara-negara Teluk.
Namun, setiap kali kapal terbang mendarat semula di Malaysia, ada satu rasa lega yang tidak dapat saya jelaskan dengan kata-kata semata-mata.
Saya kembali secara kekal ke SS7 selepas mengalami strok semasa bercuti di Malaysia pada 2018. Peristiwa itu menjadi titik perubahan besar dalam hidup saya.
Ia mengajar saya bahawa apabila tubuh menjadi lemah dan kita paling memerlukan sokongan, yang paling bererti bukanlah kemewahan sebuah bandar asing, tetapi kehangatan komuniti yang mengenali kita.
Rakan di sekolah, teman kerja di Malaysia dan UAE, jiran di SS7, ahli jemaah di Masjid Nurul Yaqin serta sahabat-sahabat di KOYAQIN. Inilah realiti yang tidak pernah muncul dalam mana-mana laporan indeks persaraan global.
Malaysia terbaik untuk bersara?
Baru-baru ini, tular sebuah infografik yang mendakwa Malaysia menduduki tangga pertama dunia sebagai negara terbaik untuk bersara pada 2026 berdasarkan Rumavi Global Relocation Index terbitan Asia Guide, dengan skor 75.8, seri dengan Panama.
Sebagai seorang yang sudah membandingkan pelbagai negara secara peribadi selama bertahun-tahun, saya menyambut berita ini dengan gembira tetapi juga dengan sikap berhati-hati seorang penulis yang sentiasa mahu menyemak sumber.
Rumavi bukanlah institusi penyelidikan bebas seperti OECD atau Bank Dunia. Ia lebih kepada firma relokasi hartanah dan metodologinya kurang telus berbanding indeks-indeks yang lebih lama bertapak.
Sumber yang lebih diyakini di peringkat global termasuk International Living's Global Retirement Index, yang telah beroperasi selama 35 tahun dan menggunakan penyumbang sebenar di setiap negara, bukan sekadar data sekunder.
Ada juga Natixis Investment Managers' Global Retirement Index, yang membina penilaiannya daripada 18 penunjuk rasmi bersumberkan OECD, Bank Dunia dan WHO.
U.S. News Best Countries Report, hasil kerjasama dengan Wharton School, turut menjadi rujukan berteraskan akademik yang sukar dipertikaikan.
Dalam kesemua indeks "berat" ini, Malaysia memang sering disebut, tetapi jarang menduduki tangga teratas mutlak seperti yang didakwa Rumavi.
Negara seperti Portugal, Greece, Panama, Costa Rica dan Sepanyol lebih kerap muncul sebagai peneraju disebabkan gabungan sistem visa persaraan yang mantap, taraf kesihatan awam yang cemerlang serta kestabilan dasar cukai jangka panjang.
Kelebihan sebenar Malaysia
Namun begitu, saya tidak menafikan bahawa Malaysia mempunyai kelebihan sebenar yang tidak boleh dipandang ringan. Kos sara hidup kita jauh lebih rendah berbanding negara Barat.
Sistem kesihatan swasta kita cekap dan berpatutan, malah menjadi tarikan pelancongan perubatan serantau.
Program Malaysia My Second Home (MM2H), walaupun mengalami pelbagai perubahan dasar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetap menjadi salah satu laluan visa jangka panjang paling fleksibel di rantau Asia.
Cuaca kita stabil sepanjang tahun tanpa ancaman bencana besar seperti taufan atau gempa bumi yang melanda banyak destinasi persaraan popular lain.
Saya juga seorang yang hidup dengan status OKU. Ini membuatkan saya lebih peka terhadap realiti sebenar sesebuah negara, bukan sekadar keindahan pantai atau kemodenan bandarnya, tetapi sejauh mana sistem itu benar-benar menyokong golongan seperti saya.
Di Malaysia, walaupun masih banyak kekurangan dari segi infrastruktur mesra OKU, saya masih boleh bergerak menggunakan Grab setiap hari, masih dikelilingi keluarga dan sahabat yang memahami keadaan saya, serta masih boleh solat berjemaah di masjid yang saya kenali sejak 1990.
Bandingkan ini dengan realiti seorang pesara asing di negara ketiga yang mungkin terpaksa bergantung sepenuhnya kepada khidmat penjagaan berbayar tanpa sokongan komuniti sedia ada.
Tiada negara yang sempurna
Saya tidak buta terhadap kelemahan negara sendiri. Politik yang tidak pernah lekang daripada gangguan, birokrasi yang melambatkan urusan paling asas, rasuah yang masih berleluasa pada pelbagai peringkat, penyelewengan dan penyalahgunaan wang rakyat yang berulang kali terdedah melalui pelbagai siasatan — semua ini menjadi luka yang kita, sebagai rakyat, terpaksa hidup bersamanya.
Saya sendiri pernah menulis panjang lebar tentang isu Tabung Haji, hutang isi rumah dan pelbagai skandal kewangan negara.
Tetapi luka ini tidak pernah cukup besar untuk menolak saya keluar sepenuhnya kerana saya faham bahawa tiada satu pun daripada lebih 60 negara yang pernah saya lawati itu benar-benar sempurna.
Setiap negara ada politik busuknya sendiri, cuma berbeza wajah dan bahasa.
Bagi seorang warga emas yang pernah memiliki tiket keluar sebanyak tiga kali — dua PR New Zealand dan satu PR Kanada — dan memilih untuk tidak menggunakannya, persoalan sebenar bukanlah "negara mana yang terbaik di dunia untuk bersara" berdasarkan angka indeks semata-mata.
Persoalan yang lebih jujur ialah: adakah kita sanggup menukar keakraban sebuah komuniti yang mengenali sejarah kita demi kemudahan yang hanya kelihatan indah di atas kertas?
Tentu anda ada jawapan sendiri. - DagangNews.com








