KUALA LUMPUR 4 Sept — Kerjasama Ramssol Group Berhad dengan Linear Channel Sdn Bhd berpotensi menjana aliran hasil berulang kepada kumpulan sehingga 2029, menurut analisis Apex Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, kerjasama bernilai RM23.24 juta untuk tempoh 36 bulan sekali gus mengukuhkan prospek pendapatan kumpulan tersebut berasaskan perisian dan perkhidmatan teknologi.
Pada masa sama ujarnya, usaha berkenaan turut memberi kumpulan itu dengan asas pendapatan secara berkontrak yang dijamin secara lebih kukuh menerusi anak syarikat milik penuhnya, RAMS AITech.
"Kami namun menekankan antara cabaran ialah tumpuan Ramssol sebagai rakan niaga swasta, selain kemungkinan risiko ketidakpatuhan, di bawah memorandum perjanjian (MoA)," jelas Apex Securities.
RAMS AITech memeterai MoA dengan Linear Channel pada 2 September 2026 bagi kerjasama meliputi penjualan semula perisian kecerdasan buatan (AI), penyewaan peranti dan pemantauan peranti.
Di bawah program GreenElite Pro, sebanyak 8,000 peranti sedia ada milik Linear Channel digunakan, manakala baki 2,000 peranti dibekalkan RAMS AITech menerusi perjanjian sewa bernilai RM4.62 juta.

Selain itu, perjanjian penjualan semula RM12.36 juta dan perjanjian perisian pemantauan bernilai RM6.27 juta meliputi kesemua 10,000 tempat langganan, menjadikan keseluruhannya RM23.24 juta.
"Linear Channel mengurus hubungan dengan pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk penyelenggaraan dan pengebilan, manakala RAMS AITech melesenkan perisian," kata firma berkenaan.
Kerjasama Ramssol itu turut memberikan hak penolakan pertama untuk mengembangkan model sama ke Singapura, Vietnam, Thailand, Indonesia dan Filipina, sekali gus membuka ruang di pasaran ASEAN.
Apex Securities turut mengambil kira Foundation Collaboration Agreement bernilai RM7.70 juta pada Mac 2026 bagi program penyewaan peralatan, dengan kira-kira 60% daripadanya dipenuhi setakat ini.
Susulan MoA baharu dan tiga perjanjian tersebut, ia menaikkan unjuran keuntungan bersih teras Ramssol bagi FY26, FY27 dan FY28 masing-masing kepada RM31.5 juta, RM42.2 juta dan RM47.3 juta.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.37 daripada RM1.30 berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan 15.4 kali unjuran teras FY27," katanya. - DagangNews.com








