Inari Amertron akan tingkat kapasiti pengeluaran RF kepada 90% menjelang September 2022 | DagangNews Skip to main content

Inari Amertron akan tingkat kapasiti pengeluaran RF kepada 90% menjelang September 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Julai - Kenanga Research menjangkakan Inari Amertron Berhad sedang bersedia untuk meningkatkan perniagaan frekuesi radio (RF) tahunannya dengan menjangkakan model telefon pintar Amerika Syarikat (AS) akan dilancarkan pada September 2022.

 

Firma itu berkata, kadar penggunaan buat masa sekarang adalah 75% dan sedang dipertingkatkan sehingga 90% menjelang hari pelancaran.

 

Katanya, kumpulan itu juga membawa masuk penguji RF atas permintaan pelanggan yang akan dipasang di loji P55 manakala loji P13 sudah diduduki sepenuhnya.

 

"Kami menganggap ia sebagai petanda positif yang menunjukkan bahawa pengeluar telefon pintar AS yakin dengan kebolehpasaran model yang akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, perbezaan yang dapat dilihat pada waktu ini berbanding sebelum pandemik ialah penyepaduan peralatan pelindung gangguan elektromagnet (EMI) dengan setiap penguji RF.

 

Katanya, walaupun penapis RF masih digunakan untuk lebar jalur sub-6 Ghz dalam produk akhir, kumpulan tersebut berkata bahawa keupayaan penapis sebenarnya boleh memanjangkan sehingga 20 Ghz.

 

Katanya, keperluan untuk peralatan EMI adlaah bagi memastikan keputusan ujian diperoleh dalam persekitaran terkawal (bebas daripada gangguan).

 

Walaupun kumpulan itu mendahului dua tahun bagi penghasilan besar-besaran proses pengacuan dua sisi (DSM) untuk RF, kumpulan itu yakin hala tujunya sejajar dengan pelanggan kerana ia menghasilkan ketumpatan cip yang lebih tinggi setiap PCB, reka bentuk yang lebih menarik dan pengurangan penggunaan PCB.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM3.30 selepas mengambil kira kedudukan mereka sebagai proksi yang paling hampir dengan penggunaan 5G, kemampuan mengekalkan margin keuntungan yang stabil dan meluaskan aliran pendapatan menerusi perniagaan baharu. - DagangNews.com