Hibah di Malaysia diperkenalkan oleh penunggang agama? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 4 April 2022
Wasiyyah

KAEDAH HIBAH DI MALAYSIA DIPERKENALKAN OLEH PENUNGGANG AGAMA?

 

 

 

SELAMAT BERPUASA kepada semua pembaca Dagang News. Artikel saya  hari ini akan berkongsi cerita pengalaman kami memperkenalkan kaedah hibah di Malaysia.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad mula memperkenalkan hibah sebagai instrumen perancangan harta di dalam masyarakat Malaysia pada tahun 2004. 

 

Ketika itu satu-satunya kaedah pembahagian harta pusaka yang diketahui oleh masyarakat ialah hukum faraid.

 

Perkataan hibah tidak pernah didengari masyarakat malah hukum faraid itu sendiri tidak difahami sepenuhnya.

 

Kami sebenarnya melihat kepada maslahat (kepentingan) untuk golongan tertentu di Malaysia untuk merancang harta melalui kaedah hibah dan di dalam masa yang sama tidak mengenepikan hukum faraid.

 

Kami sangat memahami bahawa hibah sangat diperlukan oleh golongan seperti

  • pasangan yang tiada anak,

  • pasangan yang mempunyai anak perempuan sahaja,

  • pasangan yang mempunyai anak OKU,

  • orang bujang yang tidak berkahwin,

  • suami yang berpoligami,

  • pasangan yang mempunyai anak angkat,

  • pasangan yang mempunyai anak  kecil sedangkan umur mereka sudah lanjut,

  • pasangan yang membeli rumah secara bersama,

  • pasangan yang mempunyai anak lelaki dan perempuan yang mahukan harta dibahagikan secara sama rata, dan

  • sebarang golongan yang berhasrat membahagikan harta mengikut formula tertentu atas sebab tertentu.

 

 

hibah

 


 

Dengan bimbingan 7 orang Panel Syariah yang berpengalaman dan berpengetahuan tinggi, kami melalui beberapa proses penyelidikan sehinggalah SOP, kaedah dan bentuk hibah terbaik mengikut keadaan undang-undang semasa berjaya dibangunkan.     

 

Bukan sedikit tohmahan dan fitnah dilemparkan kepada kami apabila kami memperkenalkan hibah dalam keadaan masyarakat tidak pernah mendengar pun istilah hibah itu.

 

Kami dituduh membawa ajaran sesat yang tiada di dalam Islam. Golongan yang tidak faham mendakwa hibah tidak wujud dalam Islam.

 

Yang ada hanyalah hukum faraid sahaja dan membahagikan harta selain dari cara itu adalah haram dan berdosa.

 

Kami dituduh sebagai ‘penunggang agama’ yang hanya bermotifkan keuntungan semata-mata. 

 

Kami tegar mengharungi semua tohmahan ini dan mendidik masyarakat mengenai hibah dan perbezaannya dengan hukum faraid.

 

Alhamdulillah, apabila Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam yang dipelopori Majlis Pengawasan Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) diwartakan pada 2013, tohmahan dan fitnah ini perlahan-lahan mulai senyap.


 

jadual 10
Petikan Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Klik di sini

 

 

Saya rasa mungkin pihak yang berkenaan ‘segan’ nak menuduh ahli-ahli Majlis Pengawasan Syariah BNM yang merupakan badan penasihat Syariah tertinggi di Malaysia dalam urusan muamalat sebagai ‘penunggang agama’ dan berorientasikan keuntungan.

 

Alhamdulillah perjuangan kami mendidik masyarakat tentang hibah semakin diterima selepas 2013.    

 

Pada 2017, Wasiyyah Shoppe Berhad memberi geran penyelidikan kepada Fakulti Pengajian Islam UKM.

 

Fokus kami pada ketika itu ialah hibah harta bercagar dan hibah bersyarat. Ia topik yang sensitif ketika itu kerana bagi pihak berkenaan yang pada asalnya menuduh kami ‘penunggang agama’ kerana memperkenalkan kaedah hibah tetapi telah menerima pula kaedah hibah selepas beberapa tahun, hibah boleh diberikan tetapi ia mestilah tanpa syarat dan ia mestilah harta yang bebas dari sebarang cagaran.

 

Menurut mereka kalau sudah dihibah harta itu, ia mestilah berpindah milik secara rasmi di dalam semua dokumen pemilikan dan pemilik harta asal tidak boleh mendapat manfaat langsung dari harta itu.

 

Bagi harta bercagar pula, mereka mendakwa  harta itu milik bank dan kerana itu ia tidak boleh dihibahkan kecuali dengan kebenaran bank. 

 

Kami melalui proses pembangunan perkhidmatan yang sangat ketat. Penyelidikan mengambil masa 6 bulan untuk disiapkan. Dapatan penyelidikan dibentangkan kepada Panel Syariah bagi dibangunkan sebagai cadangan perkhidmatan yang patuh hukum syarak, undang-undang Syariah dan boleh dikuatkuasakan mengikut undang-undang semasa negara.

 

Selepas cadangan rangka perkhidmatan dibangunkan, kami membentangkan pula cadangan itu di dalam Muzakarah Isu-isu Perundangan Penghartaan Islam yang kami anjurkan setiap tahun.

 

 

Wasiyyah

 

 

Muzakarah ini dihadiri oleh pakar-pakar perundangan Syariah yang memberikan cadangan penambahbaikan.

 

Panel Syariah kemudiannya bermesyuarat kembali bagi mengemaskini cadangan dan seterusnya meluluskan ia sebagai perkhidmatan Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Akhirnya selepas tempoh 12 bulan, hibah harta bercagar dan hibah bersyarat berjaya  diperkenalkan kepada masyarakat. 

 

Namun sekali lagi kami dituduh ‘penunggang agama’ kerana memperkenalkan hibah harta bercagar dan hibah bersyarat yang menurut pihak ini bercanggah dengan hukum Syarak.

 

Malah lebih buruk lagi Panel Syariah kami juga ditohmah ‘Panel Syariah 25%’ kerana kononnya sanggup menggadaikan hukum syarak semata-mata kerana telah dibayar oleh Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Roda pengalaman sama kami lalui. Satu industri mengutuk tindakan kami memperkenalkan hibah harta bercagar dan hibah bersyarat.

 

Walaupun begitu kami tegar mendidik masyarakat mengenai topik ini kerana dapatan penyelidikan kami yang  masih di dalam ruang lingkup hukum Syarak mendapati bahawa  kedua-dua hibah harta bercagar dan hibah bersyarat ini sebenarnya boleh berkuatkuasa tetapi mestilah tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

 

Serangan ini akhirnya reda apabila Majlis Fatwa Selangor mewartakan fatwa pada 2021 bahawa hibah harta bercagar adalah sah mengikut hukum Syarak namun perlu dilaksanakan mengikut syarat tertentu.


 

Wasiyyah

 


Fatwa yang telah diwartakan membentuk sebahagian dari undang-undang yang berkuatkuasa di negeri Selangor. Saya percaya fatwa ini juga akan diperhalusi oleh negeri-negeri lain.

 

Ironinya, syarat-syarat yang diwartakan oleh Majlis Fatwa Selangor itu selari dengan syarat-syarat dapatan penyelidikan yang kami temui pada 2017.  

 

Pada saya pewartaan fatwa ini adalah satu testimoni kuat bahawa penyelidikan ilmiah berdisiplin yang kami lakukan adalah masih di dalam ruang lingkup hukum syarak yang boleh disepakati bersama dan ia sangat membantu dalam urusan penghartaan umat Islam. Alhamdulillah.

 

Tahun 2022 ini, Wasiyyah Shoppe Berhad memasuki pula fasa baru apabila kami akan memperkenalkan perkhidmatan perancangan harta Syariah secara digital pula. Serangan pandemik COVID-19 dan globalisasi membawa kepada keperluan pendigitalan ini. 

 

Sekali lagi kami berada di dalam kedudukan sebagai inovator di mana apa yang kami sedang lakukan tidak pernah dilakukan oleh pihak lain.

 

 

Wasiyyah

 

 

Walaupun begitu bersesuaian dengan disiplin ilmu yang Wasiyyah Shoppe Berhad pegang selama ini, kami sekali lagi membuat  kajian terperinci dari segi hukum, undang-undang dan kebolehlaksanaan sistem digital ini.

 

Ramai yang skeptikal dan tidak yakin namun pada kami sebagai ‘orang tua’ industri yang sudah lali dicap sebagai ‘penunggang agama’, situasi itu tidak menggentarkan atau melemahkan iltizam kami.

 

Insya-Allah dengan kerja kuat semua pihak, usaha pendigitalan ini akan berjaya dan seterusnya menjadi sistem ini akan menjadi ‘game changer’ kepada industri.

 

Sekali lagi saya tegaskan usaha ini bukan berorientasikan kewangan semata-mata malah lebih penting lagi ia memberi akses kepada masyarakat secara keseluruhannya untuk merancang harta dengan lebih mudah kerana segala-galanya bakal berada di tapak tangan dan di hujung jari anda sahaja.

 

Agak-agaknya adakah kami akan dituduh sekali lagi sebagai penunggang agama?

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin merupakan Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

Wasiyyah

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags