Haram buat hibah? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 27 September 2021
Wasiyyah

HARAM BUAT HIBAH?

 

 

SEORANG sahabat menunjukkan kepada saya video tular seorang penceramah terkenal yang berceramah mengatakan bahawa pengenalan  hibah di Malaysia menyebabkan masyarakat mengambil jalan pintas menggunakan kaedah hibah untuk melarikan diri dari hukum faraid. Haram katanya sebab kita melarikan diri dari hukum Allah!  

 

Saya mendengar video itu dengan penuh minat kerana isu hibah melarikan dari hukum faraid ini bukan isu asing kepada saya malah saya dah hadap dari tahun 2004 lagi ketika Wasiyyah Shoppe Berhad mula-mula memperkenalkan hibah kepada masyarakat.

 

Ketika itu  ada masyarakat yang menuduh saya sebagai membawa ajaran sesat kerana kata mereka tiada satu pun ayat al-Quran yang bercerita tentang hibah. Kalau tentang faraid dan wasiat adalah. Dari mana pula datangnya hibah ni ? Ini semua kerana kepentingan komersial, katanya.

 

Isu hibah melarikan diri dari faraid ini secara istiqomah telah saya perjelaskan kepada masyarakat. Pembaca boleh belek halaman Facebook saya Ariffin Sabirin Official untuk membaca penjelasan saya mengenai isu ini.

 

Malah jika kita rajin membaca, kita boleh buat carian di Google dan kita akan jumpa pelbagai ulasan ilmiah oleh pelbagai pakar di dalam bidang fiqh mawarith yang mengulas isu ini panjang lebar. Tetapi kalau malas membaca, tak dapeklah den nak tolong kerana membaca itu jambatan ilmu!

 

Hari ini 2021, lebih 17 tahun selepas saya kali pertama bercakap tentang hibah kepada masyarakat Malaysia, hibah adalah antara instrumen agihan harta yang paling banyak digunakan untuk mengagihkan harta selain daripada wasiat.

 

Aplikasi hibah di dalam saham amanah seperti diputuskan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti pada 2003, aplikasi hibah di Tabung Haji dan Amanah Saham Nasional Berhad, aplikasi hibah bersyarat di dalam Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, kes-kes hibah yang semakin banyak disahkan oleh Mahkamah Syariah dan kewujudan pelbagai organisasi memperkenalkan hibah kepada masyarakat membantu meningkatkan lagi kefahaman masyarakat.

 

Secara umumnya pakar-pakar fiqh muamalat dan pakar fiqh mawarith sudah pun menerima aplikasi hibah ini. Cuma mungkin metodologi hibah mengikut pandangan peribadi dalam kalangan mereka itu berbeza.

 

 

Wasiyyah

 

 

Jadi mendengar video tular ini, saya tertanya-tanya di manakah penceramah  ini berada semenjak 17 tahun yang lepas? Adakah dia tidak pernah mendengar perkembangan industri kewangan Islam di Malaysia? Adakah dia tidak mengikuti segala pembangunan perundangan Syariah di Malaysia yang berkaitan dengan hibah? Atau adakah dia sekadar berpegang teguh kepada pandangannya tanpa berlapang dada belajar dari agamawan lain yang lebih berkepakaran di dalam bidang ini?

 

Jelasnya penceramah yang mengulas isu ini tidak faham secara mendalam isu hibah dan tidak mengikuti perkembangan muamalat di Malaysia. Tidak semua orang pakar di dalam segenap  disiplin ilmu fiqh yang sangat luas itu.

 

Contohnya seseorang itu mungkin pakar di dalam fiqh muamalat tetapi kurang pakar di dalam fiqh mawarith. Saya pernah berjumpa pakar muamalat yang berpengalaman puluhan tahun mengaku bahawa dia kurang faqih ilmu berkaitan fiqh mawarith. Maka sebab itulah dia menyertai Wasiyyah Shoppe sebagai daie kerana ingin mendalami ilmu fiqh mawarith ini bagi disebarkan kepada masyarakat.

 

Dia faham bahawa sebagai syarikat amanah patuh syariah, pembangunan perkhidmatan di Wasiyyah Shoppe diterajui, dibimbing dan dipantau oleh Panel Syariah yang sememangnya pakar berpengalaman puluhan tahun dalam bidang fiqh mawarith dan bidang berkaitan pewarisan.

 

Panel Syariah kami bukan sahaja ilmuwan di dalam bidang fiqh mawarith dan fiqh muamalat, malah berpengalaman juga sebagai hakim membicarakan kes-kes hibah dan pengurusan pusaka.

 

Mereka bukan sekadar pensyarah universiti berkelayakan PhD di dalam fiqh mawarith, malah terlibat di dalam pelbagai inisiatif penggubalan undang-undang berkaitan penghartaan umat Islam di Malaysia.  

 

Saya pula secara peribadi bukanlah pakar di dalam bidang ini namun bersyukur Allah merezekikan saya untuk kekal berada di dalam bidang ini semenjak sekian lama dan diberikan peluang untuk belajar dari orang-orang yang berkepakaran.

 

Tanggungjawab utama saya ialah untuk memastikan segala keputusan Panel Syariah ini dipatuhi sepenuhnya tanpa kompromi oleh Syarikat bagi memastikan perkhidmatan kami memang 100% patuh hukum syarak dan undang-undang Syariah di Malaysia.  

 

 

Wasiyyah

 

 

Masyarakat mudah terpengaruh bila mendengar penceramah terkenal memberikan pandangan kontroversi di media sosial. Kita mudah menelan bulat-bulat tanpa tabayyun apa yang disampaikan.

 

Kita tidak menyiasat sama ada pandangan yang diberikan itu sekadar pengalaman dan pandangan peribadi atau pandangan berasaskan ilmu dan disepakati oleh majoriti ulama berkepakaran dan memiliki authority di dalam bidangnya.

 

Analogi mudahnya ialah masalah perubatan. Kalau gigi kita sakit takkanlah pula kita nak jumpa doktor mata. Kalau kita ada masalah jantung, jangan jumpa doktor sakit puan untuk penyelesaiannya.

 

Jadi masyarakat kena pandai menyaring pandangan sesiapapun dalam mengulas sesuatu isu. Di dalam dunia media sosial hari ini, sesiapa pun bebas mengeluarkan pandangannya.

 

Sama ada pandangan itu berfakta atau tidak, orang itu  mempunyai ilmu atau pengalaman yang berkaitan atau tidak, ini adalah tanggungjawab kita untuk memastikannya.

 

Jika jelas doktor gigi itu bercakap tentang sakit jantung, maka pastilah pandangan itu tidak berasaskan ilmu dan pengalaman.

 

Jika pandangan penceramah itu yang ingin kita pakai, maka siasatlah latar belakangnya. Pastikan dia memang faqih dalam bidang fiqh mawarith dan berpengalaman di dalam bidang itu.

 

Jika benarlah pandangan penceramah itu bahawa hibah itu haram kerana melarikan diri dari faraid, maka berdosalah pakar-pakar syariah yang duduk di dalam Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti yang memperkenalkan undang-undang dan peraturan berkaitan hibah, berdosalah hakim-hakim syarie yang mengesahkan kes hibah di mahkamah.

 

Berdosalah panel-panel syariah bank-bank Islam dan syarikat-syarikat takaful yang membuat keputusan berkaitan hibah, berdosalah pensyarah-pensyarah universiti yang mengajar topik hibah di universiti.

 

Berdosalah ulama-ulama muktabar seluruh dunia yang kitab mereka mengupas pelbagai isu hibah, berdosalah puluhan ribu perunding takaful yang setiap hari mempromosikan hibah takaful, berdosalah peguam-peguam syarie yang membawa kes hibah di mahkamah syariah.

 

Pendek kata semua orang di Malaysia ini berdosa kerana melakukan perbuatan haram iaitu mengaplikasi atau mempromosikan kaedah hibah! Yang tidak berdosa hanyalah penceramah itu seorang sahaja kerana hanya dialah satu-satunya manusia di Malaysia yang faham bahawa hibah itu haram!

   

Di dalam Surah An-Nahl : 43, Allah SWT telah mengingatkan kita, “Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui ( keadaan sesuatu perkara ).”

 

Saya mohon maaf jika penulisan saya minggu ini menyinggung perasaan sesetengah pihak. Kita perlu berpegang kepada pendirian berani kerana benar.

 

Orang-orang yang tidak berkepakaran di dalam bidangnya, janganlah mengelirukan masyarakat dengan pandangan peribadi kita yang kurang tepat dan tidak berdasarkan ilmu.

 

Malaysia sudah pun berada di barisan hadapan sebagai hab kewangan Islam global dengan pengenalan pelbagai inovasi perkhidmatan patuh syariah termasuklah tentang hibah. Kalau kita tidak boleh menyumbang pun, janganlah kita memusnahkan!

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

Portfolio Tags