Hampir 700,000 rakyat Malaysia tandatangani petisyen tolak GEG - MVA | DagangNews Skip to main content

Hampir 700,000 rakyat Malaysia tandatangani petisyen tolak GEG - MVA

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Sept - Malaysian Vapers Alliance (MVA) menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan pandangan hampir 700,000 rakyat Malaysia yang menentang cadangan dasar Generation End Game (GEG).

 

Jumlah tersebut adalah hasil daripada petisyen yang dijalankan Malaysia Bersuara, yang dilancarkan pada bulan Julai 2022. 

 

GEG jika dilaksanakan akan mengharamkan penggunaan dan penjualan produk rokok dan vape bagi mereka yang lahir selepas 2007, untuk seumur hidup. Ini akan mewujudkan masyarakat yang ditadbir melalui dua perundangan yang berbeza bagi dua kumpulan orang berlainan.

 

Presiden MVA, Khairil Azizi Khairuddin berkata, setiap warganegara Malaysia mempunyai hak untuk dilayan sama rata, dan sebarang bentuk layanan yang berbeza adalah diskriminasi. 

 

"Kami tidak boleh, dalam apa jua keadaan, membenarkan generasi akan datang dipinggirkan dan tertakluk kepada pendakwaan terpilih. Di negara di mana kita secara konsisten mencapai kemajuan, tindakan mewujudkan masyarakat yang didiskriminasi telah menepis usaha rakyat dalam mewujudkan masyarakat yang progresif dan saksama.

 

“Jelas sekali, dasar GEG yang keterlaluan telah menarik perhatian rakyat Malaysia. Petisyen Malaysia Bersuara, yang telah mendapat hampir 700,000 tandatangan menunjukkan bahawa terdapat kebimbangan yang sangat nyata dalam kalangan orang ramai terhadap implikasi dasar tersebut. 

 

"Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan mesti mengambil masa untuk mempertimbangkan secara serius kebimbangan yang dibangkitkan, dan melepaskan dasar itu begitu sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

MVA
Khairil Azizi Khairuddin

 

 

Khairil Azizi berkata, Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) adalah salah untuk memasukkan vape sebagai sebahagian daripada dasar GEG selepas menolak idea pengurangan kemudaratan.

 

Katanya, menurut laporan media, Khairy menolak idea pengurangan kemudaratan tembakau dan mengulangi pendirian KKM bahawa GEG akan digunakan untuk kedua-dua produk rokok dan vape pada masa sama, yang akan mengharamkan produk itu pada masa hadapan.

 

“Jangan kita terlepas pandang matlamat utama iaitu untuk mewujudkan Malaysia yang mana rakyat tidak bergantung kepada rokok. MVA percaya dasar GEG sedia ada menghantar mesej yang salah kepada perokok.

 

“Pastinya kita tidak mahu perokok terus memilih untuk merokok. Bagaimanapun, daripada melaksanakan dasar larangan, kita harus menggalakkan mereka beralih kepada produk yang kurang mudarat yang merupakan nadi strategi pengurangan kemudaratan," katanya.

 

Tambahnya, negara seperti New Zealand telah berjaya mengurangkan kelaziman merokok mereka dengan menggunakan strategi pengurangan kemudaratan, yang menggalakkan perokok tegar beralih kepada alternatif yang kurang memudaratkan seperti vape. 

 

"Fakta dan sains yang disokong institusi kesihatan awam antarabangsa telah mengakui tahap kemudaratan produk vape jauh lebih rendah berbanding rokok. Oleh itu, Rang Undang-Undang itu tidak sepatutnya menyamakan vape dengan rokok, seperti yang berlaku sekarang," katanya. - DagangNews.com