Gumusut Kakap Fasa 3 catat pengeluaran minyak pertama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gumusut Kakap Fasa 3 catat pengeluaran minyak pertama

Sabah Shell Petroleum Co. Limited (SSPC) adalah operator bagi projek Gumusut Kakap Fasa 3 yang terletak di perairan Sabah. - Gambar : Laman web Shell

KUALA LUMPUR 3 Okt – Projek pembangunan air laut dalam di Gumusut Kakap (GK) Fasa 3 yang terletak di perairan Sabah telah mencapai pengeluaran minyak yang pertama pada 31 Julai 2022. 

 

Sabah Shell Petroleum Co. Limited (SSPC) adalah operator bagi projek tersebut dengan kerjasama Petronas Carigali Sdn. Bhd., ConocoPhilips Sabah Limited, PTT Exploration and Production Public Company Limited, dan PT Pertamina Malaysia Eksplorasi Produksi.

 

Ia menyaksikan dua telaga pengeluar minyak baharu dan dua telaga penyuntik air telah digerudi. Setelah siap sepenuhnya pada suku pertama 2023, empat telaga itu akan menambah sekitar 25,000 tong sehari kepada kapasiti pengeluaran sedia ada GK.

 

Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM) Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata, penyampaian pengeluaran baharu daripada GK Fasa 3 mewakili satu lagi peristiwa penting dalam pembangunan bertaraf dunia, seterusnya membuka potensi sepenuhnya.

 

"Kami amat berbangga dengan usaha besar kontraktor penyusunan petroleum kami termasuk penyedia perkhidmatan kami, dengan sokongan padu Kerajaan Negeri Sabah, berjaya mengatasi cabaran yang dihadapi terutamanya semasa penularan wabak COVID-19. 

 

"Ia adalah bukti sebenar daya tahan ekosistem minyak dan gas tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau menyifatkan masa depan terletak pada air dalam yang membentuk satu perempat daripada keluasan luar pesisir walaupun kawasan dalam yang cetek terus menyokong pengeluaran negara. - DagangNews.com