Empat syarikat sarung tangan terbesar Malaysia kehilangan lebih RM51 bilion dalam nilai saham sejak 12 bulan lalu | DagangNews Skip to main content

Empat syarikat sarung tangan terbesar Malaysia kehilangan lebih RM51 bilion dalam nilai saham sejak 12 bulan lalu

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Julai - Harga jualan purata (ASP) sarung tangan getah dijangka tidak kembali semula kepada paras sebelum pandemik COVID-19 selain industri tersebut turut berdepan isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang serius.

 

Secara keseluruhan, Top Glove Corporation Bhd, Hartalega Holdings Bhd, Kossan Rubber Industries Bhd dan Supermax Corporation Bhd telah menyaksikan RM51.37 bilion permodalan pasaran mereka dihapuskan sejak setahun lalu.

 

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, prospek bagi sektor sarung tangan tidak menjanjikan kerana penurunan beransur-ansur ASP.

 

Sementara itu menurut MIDF Research, penurunan ASP menjadi kekangan utama kepada industri untuk berkembang terutama disebabkan bekalan yang melebihi permintaan bagi sarung tangan getah. 

 

Ini kerana katanya, kebanyakan pemain baharu mengambil kesempatan menyertai sektor tersebut memandangkan ia dilihat sebagai perniagaan menguntungkan semasa pandemik, tetapi keadaan berubah apabila terdapat terlalu banyak bekalan sarung tangan dalam pasaran. 

 

Pada masa sama, rancangan pengembangan pemain utama industri turut memberi kesan kepada ASP hingga mengakibatkan bekalan dan persaingan yang lebih tinggi. 

 

"Walaupun sesetengah syarikat mampu meningkatkan jumlah jualan, tetapi ia tidak cukup untuk mengimbangi penurunan ASP dan kenaikan kos. Situasi ini mungkin berlaku disebabkan peralihan dunia kepada fasa endemik. 

 

"Ekoran kadar penggunaan semasa industri adalah sekitar 50 hingga 60%, kami berpendapat syarikat pengeluar sarung tangan akan menangguhkan pelan pengembangan kapasiti baharu," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

glove

 

 

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2022, ASP bagi sarung tangan serbuk lateks, lateks bebas serbuk dan nitril masing-masing berlegar pada AS$23, AS$29 dan AS$30 per 1,000 keping.

 

Pasaran yang terlebih tepu telah menjejaskan keupayaan pemain untuk melepaskan kos pengeluaran yang lebih tinggi (buruh, bahan api dan elektrik) kepada pengguna. 

 

Keadaan ini telah memberi kesan yang ketara ke atas pendapatan syarikat pengeluar sarung tangan getah.

 

Akibatnya, tindakan paling segera yang boleh mereka ambil ialah menangguhkan rancangan pengembangan dalam usaha menstabilkan ASP.

 

Dalam hal ini, Top Glove Corp. Bhd. sebelum ini mengumumkan untuk menangguhkan pelan pengembangannya (berjumlah 32 bilion keping sarung tangan getah) dalam tempoh 4 tahun akan datang.

 

 

Top Glove

 

 

Bagaimanapun, MIDF Research percaya keberkesanan mengehadkan tambahan pengeluaran ini akan mengambil masa beberapa tahun sebelum pasaran mencapai permintaan yang optimum.

 

Firma itu mendapati setakat ini, prestasi syarikat pengeluar sarung tangan getah di bawah liputannya adalah di bawah jangkaan, dengan tidak memenuhi ramalan firma mahupun konsensus.

 

"Prestasi yang kurang memberangsangkan ini disebabkan oleh industri yang datang daripada tempoh pertumbuhan eksponen akibat pandemik COVID-19.

 

"Penurunan ASP dan peningkatan pengeluaran telah memberi tekanan kepada margin pemain industri sarung tangan getah," tambahnya.

 

 

hartalega

 

 

Mengenai ESG, MIDF Research berkata, industri sarung tangan getah kekal berdepan isu ESG yang serius ekoran perintah tahan pelepasan (WRO) yang dikeluarkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) dan penamatan kontrak Supermax Corp. Bhd. dari Kanada baru-baru ini kerana dakwaan penggunaan buruh paksa.

 

Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) mendapati larangan import yang dikenakan CBP AS menyebabkan industri sarung tangan kehilangan potensi hasil eksport sarung tangan sebanyak RM3.6 bilion.

 

Menurut firma itu,  ia percaya masih terdapat jurang dalam melaksanakan dasar yang membawa kepada larangan importnya di AS dan Kanada di sebalik pelaksanaan dasar pengurusan pekerja asing untuk meningkatkan standard buruhnya bagi memenuhi kriteria Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

 

"Akibatnya, kami melihat aliran keluar dari tahun ke hari daripada Supermax oleh pelabur asing bermula pada Januari 2022. Begitu juga, dalam tempoh yang sama, Kossan Rubber Industries Bhd. menyaksikan aliran keluar pelabur asing.

 

"Sebaliknya, kami melihat aliran masuk dari tahun ke tahun dalam Top Glove dan Hartalega Holdings Bhd., yang boleh dikatakan disebabkan inisiatif mereka untuk memastikan pematuhan ESG yang rapi," katanya.

 

 

supermax

 

 

Melihat kepada prospek industri yang masih rapuh, MIDF Research menyemak semula ASP dan unjuran hasil syarikat pengeluar sarung tangan getah di bawah liputannya setelah mengambil kira kos input yang lebih tinggi.  

 

Ia mengurangkan anggaran hasil Hartalega bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23)/FY24 sebanyak 16.2%/4.9%, manakala Kossan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22)/FY23 dikurangkan sebanyak 15%/6.9%. 

 

Hasil Supermax bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22)/FY23 juga dikurangkan sebanyak 47.8%/47.4% manakala Top Glove bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022 (FY22)/FY23/FY24 disemak turun sebanyak 30.5%/33.8%/38.4%.  

 

Sejajar dengan semakan semula hasil, firma itu turut menyemak turun harga sasaran (TP) Hartalega, Kossan, Supermax dan Top Glove masing-masing kepada RM3.09, RM1.34, 88 sen dan RM1.04 sesaham dengan pandangan 'neutral' memandangkan penurunan ASP masih kekal menjadi risiko utama. 

 

Secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor sarung tangan getah. - DagangNews.com