PRN: Benarkah BN sudah tidak lagi relevan? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 16 August 2023

PRN: Benarkah BN sudah tidak lagi relevan?

 

 

BERAKHIRNYA satu lagi episod Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam negeri. Semua, seperti mana jangkaan, keputusannya adalah gabungan PH-BN mengekalkan pentadbiran di negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala Perikatan Nasional (PN) mengukuhkan cengkaman di Terengganu, Kedah dan Kelantan.

 

Keputusan PRN ini walaupun seperti telah dijangka tetapi ia memberi tamparan hebat buat Barisan Nasional (BN). Mana tidaknya, mereka hanya menang beberapa kerusi sahaja. Lebih tepat – mereka hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi dalam PRN enam negeri ini.

 

Adakah ini menunjukkan BN sudah lagi tidak relevan di hati rakyat Malaysia? Atau adakah terdapat mesej yang lebih dalam ingin disampaikan melalui undi ini?

 

Namun, jauh melangkaui pertanyaan ini, PRN ini bukanlah sekadar cerita tentang gabungan mana yang menang atau kalah; ini adalah cerita tentang dinamik perubahan politik, sokongan rakyat, dan pengukuhan demokrasi dalam wadah yang lebih luas.


 

Eksponen

 


Terengganu: Penguasaan Penuh PAS, Sifar Pembangkang

Keputusan PRN  Terengganu telah mencatat sejarah di mana Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyapu bersih semua kerusi yang dipertandingkan. Kekalahan terburuk BN ini sekali gus  melenyapkan harapan BN untuk kembali berkuasa dan mentadbir balik negeri ini.

 

Kemenangan ini menunjukkan bahawa rakyat Terengganu benar-benar menghargai serta menyukai kepimpinan Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pemimpin mereka.

 

Walaupun sesetengah orang bimbang tentang perkara-perkara tertentu, kemenangan ini membuatkan kita berfikir tentang bagaimana politik berfungsi dan apa yang sebenarnya rakyat mahu.

 

Dalam suasana tanpa pembangkang, persoalan timbul mengenai bagaimana suara berbeza mampu berperanan dalam menentukan dasar dan keputusan.

 

Mekanisme untuk memberi suara dan menilai keputusan adalah asas kepada akauntabiliti, pencegahan penyalahgunaan kuasa, dan pemeliharaan demokrasi. Ketika hanya satu parti mendominasi, langkah-langkah harus diambil untuk menangani kekurangan ini dan memastikan integriti demokrasi terjaga.

 

Kedah: Persona dan Karisma Sanusi

Kisah Kedah dalam pilihan raya ini boleh dikatakan cukup menarik. Walaupun Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menjadi sasaran, diserang bertalu-talu sepanjang kempen PRN berlangsung.


 

Eksponen

 


Tetapi, daya tarikan berkarisma beliau telah membawa PN mencapai kemenangan yang besar di mana pembangkang hanya tinggal tiga kerusi di Kedah.

 

Kejayaan Sanusi telah membuktikan keberkesanan pemimpin yang boleh berhubung dengan rakyat, berkomunikasi dengan berkesan dan menawarkan visi yang menarik untuk masa depan.

 

Ia berfungsi sebagai bukti pentingnya kepimpinan yang memberi inspirasi kepada keyakinan dan memperoleh kepercayaan orang ramai. Kebolehan Sanusi untuk menarik perhatian dan meraih sokongan dalam kemenangan ini menggarisbawahi pengaruhnya yang signifikan dalam dinamik politik di negeri Kedah ini.

 

Kelantan: Gabungan PH-BN Masih Gagal Memenangi Hati Rakyat Kelantan

Walaupun dilanda dengan isu terbesar iaitu masalah air dan ada gerakan yang cuba menjatuhkan kepimpinan terdahulu sepanjang tempoh kempen PRN berlangsung – pakat preboh Nik Amar atau Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah – nyata kemenangan masih di pihak PN.

 

Isu yang dimainkan oleh pembangkang dilihat tidak berhasil dalam usaha untuk merampas Kelantan. Tetapi apa yang pelik, jika diteliti dalam manifesto gabungan PH-BN, tidak langsung disebut tentang perancangan dan usaha yang hendak dibuat untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan.

 

Keputusan ini juga menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan gabungan politik dalam menarik sokongan rakyat.

 

Ini adalah peringatan kepada gabungan bertanding bahawa masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu yang dimainkan, dan gabungan yang bertanding sepatutnya lebih arif dalam menilai situasi politik serta cuba memberi solusi yang bukan sekadar retorik politik.

 

Selangor: Pelebaran Kuasa PN

Keputusan PRN di Selangor telah membuka mata terhadap kelemahan gabungan pemerintahan sebelum ini.


 

Eksponen

 


Walaupun PH-BN masih memegang kuasa, jumlah kerusi yang berkurangan menunjukkan perlunya perubahan dalam pentadbiran yang sedia ada. Ini mencerminkan perubahan dalam sentimen rakyat yang semakin menuntut ketelusan, akauntabiliti, dan tadbir urus yang lebih responsif.

 

Keputusan ini mengingatkan kita bahawa landskap politik tidak statik; ia terus berkembang mengikut keperluan dan harapan rakyat. Ini sebenarnya secara langsung memberi amaran; jangan terlalu selesa semasa berkuasa.

 

Gelombang Hijau: Memahami dengan Bijak

Apabila kita bercakap mengenai gelombang hijau, banyak mungkin sudah jemu dengan momokan sebegini. Isu ini sering kali dibesar-besarkan dan sering kali membawa unsur perkauman yang tidak berasas.

 

Kenapa tiada gelombang lain yang disebut? Sedangkan, gelombang yang sama sedang berlaku. Adakah ini mencerminkan politik matang yang dimainkan oleh sesetengah pihak? Menakutkan rakyat dengan perkara yang langsung tidak masuk akal!

 

Cukup! Cukuplah! Ini masanya untuk kita berfikir dengan lebih bijak terutamanya dalam pilihan raya! Sebagai rakyat Malaysia kita perlu lebih celik, bukan sahaja dalam politik tetapi dalam semua benda.

 

Semua maklumat pada masa sekarang berada dihujung jari. Jangan cepat terpengaruh dengan momokan tidak pandai seperti ini!

 

Janganlah kita berpecah akibat berbeza fahaman politik. Kerjaya sebagai ahli politik adalah berpolitik tetapi dalam negara yang unik terdiri dari berbilang bangsa dan agama, cukuplah bermain dengan sentimen yang tidak perlu semasa kempen pilihan raya!

 

Rakyat sebenarnya ingin mendengar idea-idea yang segar dan penyelesaian yang kreatif untuk mengatasi masalah dan kebimbangan mereka, bukannya berulang kali dimomokan dengan isu yang memecahbelah keharmonian kaum.


 

Eksponen

 


Kestabilan ekonomi dan keharmonian antara kaum perlu diutamakan kerana negara sekarang seolah tiada halatuju! Dengan berakhirnya PRN ini, buat gabungan yang menang, jalankan tugas seperti yang diamanahkan oleh rakyat!

 

Epilog: Menyelami Masa Hadapan Demokrasi

Episod PRN kali ini telah memberikan gambaran naratif tentang politik negara yang semakin berkembang, suara rakyat yang dahagakan perubahan serta keberkesanan kepimpinan.

 

Meskipun setiap kali pilihan raya berlangsung, tumpuan sering tertumpu pada kemenangan yang dicapai, pada hakikatnya, pilihan raya ini sebenarnya mempunyai dimensi yang lebih luas – jauh lebih rumit dan progresif.

 

Ia berfungsi sebagai peringatan yang kuat bahawa demokrasi tidak pernah statik! Pilihan raya bukan sekadar cerminan pilihan politik untuk jangka masa pendek; sebaliknya, ia mencerminkan evolusi politik dan demokrasi yang lebih besar dan berterusan.

 

Suara-suara yang dipersembahkan oleh rakyat melalui proses pilihan raya ini memperlihatkan bagaimana demokrasi berperanan dan bertindak balas terhadap keadaan semasa.


 

parafrasa

 


Pilihan raya adalah satu penjelajahan dinamik, di mana suara kolektif rakyat membentuk naratif demokrasi yang lebih mendalam dan bermakna. Ia membuat kita berfikir, apakah mesej tersirat yang cuba disampaikan oleh rakyat dalam saga PRN kali ini? – DagangNews.com

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

 

dagangnews

 

Portfolio Tags