PRN 2023: Memanfaatkan Analisis Sentimen dalam Politik | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 9 August 2023

PRN 2023: Memanfaatkan Analisis Sentimen dalam Politik

 

 

 

MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini, akan ada banyak maklumat yang datang dari sumber yang berbeza. Sesetengah maklumat ini mungkin benar, sementara sesetengah adalah palsu dan fitnah yang digunakan untuk mengelirukan pengundi.

 

Apabila terdapat terlalu banyak maklumat, ini boleh menyebabkan kesukaran orang ramai untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dan siapa yang harus dipercayai. Dalam era yang serba moden ini, dengan bantuan teknologi, salah satu cara untuk menapis maklumat serta menganalisis sentimen adalah dengan menggunakan analisis sentimen.

 

Analisis sentimen ialah salah satu teknik analisis yang boleh digunakan dalam maklumat untuk mengetahui sama ada ia positif, negatif, atau neutral. Dengan menggunakan analisis sentimen, kita boleh mendapatkan idea yang lebih baik tentang apa yang difikirkan dan dirasakan oleh kebanyakan orang tentang pilihan raya.


 

dagangnews

 


Ia membantu untuk melihat sama ada terdapat sentimen umum atau pendapat tentang perkara-perkara tertentu. Dengan cara ini, ia dapat membantu kita mengesan maklumat yang mengelirukan atau berbahaya terutamanya maklumat yang berunsur fitnah mahupun palsu. Ia mencari kata-kata yang boleh memanipulasi emosi kita atau menyebarkan cerita palsu.

 

Maklumat yang mereka boleh akses seperti berita, maklumat dari media sosial dan maklumat relevan yang berkaitan.

 

Tidak terhad kepada pengundi, penganalisis politik, calon dan pakar strategi kempen juga boleh menggunakan analisis sentimen untuk membolehkan mereka mendapatkan pandangan berharga tentang bagaimana orang ramai melihat dan bertindak balas terhadap calon politik berdasarkan maklumat serta sesuatu peristiwa.

 

Berikut adalah beberapa aspek utama analisis sentimen dalam politik:

 

  1. Analisis Persepsi Awam

Analisis sentimen membantu mengukur persepsi orang ramai terhadap tokoh dan parti politik. Dengan menganalisis artikel berita dan catatan media sosial, ahli politik dapat mengenal pasti sentimen positif dan negatif yang berkaitan dengan kempen dan dasar mereka. Analisis ini dapat memberikan maklum balas masa nyata mengenai keberkesanan mesej dan strategi mereka.

 

  1. Pemantauan Kempen Pilihan Raya

Semasa kempen pilihan raya, analisis sentimen membolehkan calon memantau bagaimana mesej mereka bergema dengan pengundi. Ia membantu mereka untuk memahami sentimen awam, mengenal pasti isu-isu yang paling penting dan dekat dengan pengundi serta menyesuaikan naratif kempen mereka dengan sewajarnya.

 

  1. Mengenal pasti Topik Utama

Analisis sentimen membantu mengenal pasti topik dan isu yang paling banyak dibincangkan dalam wacana politik. Dengan mengekstrak kata kunci dan sentimen daripada teks, penganalisis boleh mendapatkan pandangan orang ramai.

 

  1. Pengurusan Krisis

Ahli politik boleh menggunakan analisis sentimen untuk menguruskan situasi krisis dengan berkesan. Dengan melakukan analisis sentimen semasa krisis, mereka boleh bertindak balas dengan segera dan menangani kebimbangan sebelum ia menjadi semakin parah.

 

  1. Sentimen Media Sosial

Platform media sosial memainkan peranan penting dalam perbincangan politik. Analisis sentimen di Twitter, Facebook, TikTok dan platform lain boleh mendedahkan sentimen keseluruhan terhadap ahli politik atau dasar dalam masa nyata.

 

  1. Analisis Ramalan

Analisis sentimen juga boleh digunakan untuk membuat ramalan. Sebagai contoh, ia boleh meramalkan keputusan pilihan raya berdasarkan sentimen awam, walaupun pendekatan ini mungkin mempunyai batas atas kerumitan faktor yang mempengaruhi keputusan pengundi.

 

  1. Penilaian Dasar Awam

Analisis sentimen membantu pembuat dasar memahami sentimen awam terhadap dasar sedia ada dan potensi perubahan dasar. Ia membantu mengenal pasti bidang di mana dasar mungkin dirombak atau dilaraskan semula sejajar dengan pendapat umum.

 

Di bawah ini adalah pautan untuk penganalisis yang berminat melakukan analisis sentimen serta mengetahui kebarangkalian calon kegemaran sama ada menang atau kalah pada PRN ini: https://www.online-python.com/3ixqMrOuRs


 

parafrasa

 


Jika anda ingin memberi tumpuan kepada hanya satu calon, anda boleh mengubah suai kod yang tersedia untuk menjadi khusus kepada satu calon – seperti sedia ada dalam kod yang digunakan sebagai contoh adalah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

 

Jika anda meletakkan satu nama yang khusus, ini bermakna anda hanya akan menganalisis artikel berita yang berkaitan dengan calon tersebut serta menjana pandangan khusus kepada calon tersebut.

 

Berikut ialah cara untuk menggunakan kod Phyton yang tersedia dan untuk melaraskan analisis untuk calon khusus:

 

  1. Pengumpulan Data

Anda perlu mengumpulkan artikel yang berkaitan dengan calon yang bertanding di tempat anda atau calon khusus kegemaran. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan enjin carian seperti Google, Yahoo! ataupun Bing untuk mencari artikel berita yang mengandungi nama calon, gabungan parti atau kata kunci lain yang berkaitan.

 

  1. Pra-pemprosesan Teks

Ini adalah langkah yang penting di mana anda perlu melakukan pra-pemprosesan teks atau membersihkan dan memproses semula data teks untuk artikel berita. Hanya mengambil petikan yang relevan sahaja untuk digunakan dalam analisis sentimen.

 

  1. Pemodelan Topik

Gunakan pemodelan topik untuk mengenal pasti topik yang paling relevan dan berkaitan dengan calon tersebut. Dengan pemodelan topik, ia akan memberi anda pandangan mengenai maklumat berkaitan yang relevan khusus untuk calon tersebut.

 

  1. Analisis Sentimen

Kemudian anda boleh menyalin dan masukkan petikan tadi ke dalam kod Phyton yang tersedia. Kemudian anda boleh tekan “run”, hasilnya ia akan memaparkan skor sentimen serta peratusan kebarangkalian untuk menang buat calon tersebut.

 

Perlu diingat bahawa langkah-langkah yang digariskan ini boleh disesuaikan untuk calon lain dan pastikan anda menapis maklumat dengan sewajarnya supaya keputusan akhir yang dijana akan menjadi lebih tepat.


 

parafrasa

 


Walau bagaimanapun, suka diingatkan anda harus berhati-hati apabila menggunakan analisis sentimen kerana ia tidak sempurna. Ini kerana kadang-kadang, ia boleh salah menafsirkan konteks perkataan atau sindiran.

 

Oleh itu, adalah penting untuk menggunakan pertimbangan sendiri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada analisis sentimen. - DagangNews.com

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

 

dagangnews

 

Portfolio Tags