Kecewa tidak diserap ke dalam PH, MUDA mahu lawan dalam PRN: Siapa akan menang? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 28 June 2023

Kecewa tidak diserap ke dalam PH, MUDA mahu lawan dalam PRN: Siapa akan menang?

 

 

KECEWA? Mungkin itu apa yang dirasakan oleh Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap kerajaan hari ini.

 

Walaupun kini berada bersama dalam blok kerajaan, sehingga ke hari ini MUDA masih tidak mendapat sebarang maklum balas berhubung permohonan mereka untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) sebagai ahli gabungan.

 

Dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam negeri bakal diadakan dalam tempoh terdekat, MUDA kali ini berkeputusan untuk bertanding secara solo dan bakal bertembung dengan PH yang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

 


 

muda
Syed Saddiq berani melawan arus dengan mengistiharkan parti MUDA melawan PH pada PRN tidak lama lagi.

 

 

Kekecewaan Politik Berterusan

Apa yang menyebabkan MUDA mengambil keputusan bertindak sedemikian? Jawapannya ada pada kerajaan sekarang. Kegagalan sistemik!

 

Ini berlaku apabila kerajaan hari ini terus menerus secara konsisten gagal menunaikan janji mereka! Bukan setakat gagal menangani masalah yang membelenggu rakyat tetapi gagal untuk melakukan pembaharuan seperti yang selalu dilaungkan sebelum ini melibatkan tadbir urus kerajaan.

 

Memetik kenyataan Syed Saddiq dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat MUDA:

"MUDA tidak mahu seperti sekarang, Perdana Menteri mengawal Menteri Kewangan dan Menteri Wilayah. Portfolio Perdana Menteri turut melantik pimpinan tertinggi seperti peguam negara, ketua pesuruhjaya SPRM yang sebelum ini kita katakan (janji) serah kepada institusi rakyat iaitu Parlimen".

 

Kenyataan ini jelas merakamkan ketidakpuasan hati yang mendalam MUDA terhadap apa yang berlaku dalam kerajaan hari ini. Mungkin dilihat mentah, tidak dibarisi oleh tokoh ternama, tetapi keazaman tegas MUDA untuk membetulkan dinamik kuasa sedia ada bakal membawa perubahan bermakna pada negara.

 

Dengan menonjolkan ketidakpuasan hati, MUDA yakin bahawa penumpuan kuasa di tangan beberapa individu, seperti yang dilihat berlaku dalam kerajaan semasa, menghalang pengagihan kuasa yang saksama dan menghalang proses membuat keputusan yang inklusif.

 

Jelas, terdapat keperluan mendesak untuk transformasi dalam cara tadbir urus dijalankan. Sesebuah kerajaan seharusnya berfungsi lebih daripada sekadar jentera untuk kuasa dan kawalan. Ia seharusnya menjadi platform kepada penglibatan yang tulen, di mana KEPRIHATINAN, KEPERLUAN dan KEBAJIKAN rakyat perlu diutamakan.

 

Apa yang cuba dilakukan oleh MUDA ini sebenarnya adalah untuk merapatkan jurang antara kerajaan dan rakyat. Mereka memahami bahawa kejayaan mana-mana negara terletak pada keupayaannya untuk mewujudkan hubungan yang kuat antara mereka yang berkuasa dan yang mereka wakili. Hubungan ini memastikan bahawa dasar dan tindakan sejajar dengan keperluan dan aspirasi rakyat!

 

 

saddiq
Bibit-bibit keretakan hubungan antara MUDA dan PKR sudah tidak dapat disorok.

 

 

Membina Semula Kepercayaan Rakyat

Keputusasaan dan kecewa tidak cukup. Apa yang diperlukan adalah tindakan berani dari MUDA! Tindakan berani yang boleh membawa perubahan yang bermakna bagi membina semula kepercayaan rakyat.

 

Oleh itu, untuk mendapatkan semula kepercayaan dan memulakan pembaharuan yang bermakna, MUDA mesti memulakan perjalanan transformasi yang merangkumi ketelusan, akauntabiliti, dan komitmen yang tulen kepada rakyat.

 

Dalam hal ini, pendekatan reformasi adalah kunci. MUDA perlu mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap rasuah, nepotisme dan sebarang bentuk salah laku. Mereka harus menegakkan prinsip-prinsip integriti dan akauntabiliti di semua peringkat baik dalaman parti mahupun apa yang berlaku dalam negara.

 

Menegakkan integriti dan etika merupakan salah satu agenda penting bagi MUDA dalam mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi politik. Untuk mencapai matlamat ini, perlunya secara aktif untuk MUDA menunjukkan komitmen mereka terhadap standard etika yang tinggi kepada rakyat. Pastikan ia tulen dan bukan sekadar retorik!

 

Selain memerangi rasuah, MUDA boleh memperjuangkan amalan tadbir urus yang baik bagi memastikan penggunaan sumber awam yang cekap dan bertanggungjawab. Ini termasuk menggalakkan ketelusan dalam proses membuat keputusan, memperkukuh semak dan imbang institusi serta melaksanakan mekanisme bagi mengelakkan salah guna kuasa.

 

Dengan menerapkan budaya tadbir urus yang baik, MUDA boleh mewujudkan sebuah kerajaan yang lebih bertanggungjawab dan responsif demi kepentingan rakyat.

 

MUDA juga perlu menggalakkan kepimpinan beretika dengan mengekalkan prinsip moral yang teguh dan kuat. MUDA perlu berpegang kepada prinsip seperti kejujuran, keadilan dan menghormati kedaulatan undang-undang.

 

 

parafrasa

 

 

MUDA, Permulaan Pembaharuan Bermakna

Di tengah-tengah kegelisahan politik dan kejatuhan kepercayaan rakyat terhadap institusi politik, MUDA bakal muncul sebagai harapan baru yang menerangi gelapnya arena politik Malaysia.

 

Dengan pendekatan yang berani, visi yang jelas serta komitmen yang kuat, MUDA dilihat mampu untuk menarik perhatian dan memberi inspirasi kepada rakyat untuk mengambil bahagian dalam perubahan yang bakal berlangsung.

 

Mereka menawarkan alternatif yang segar dan mampu mendorong terhadap perubahan dan pembaharuan yang bermakna. MUDA dilihat berpegang teguh pada prinsip-prinsip demokrasi, keadilan dan kesaksamaan.

 

Kelantangan mereka mengkritik menjadi bukti. Ini kerana mereka melihat adanya kelemahan dalam amalan politik yang sudah lapuk dan merasakan keperluan untuk membawa perubahan yang sebenar dalam cara negara ini diperintah.

 

Mereka menunjukkan bahawa dengan pemikiran inovatif, komitmen yang teguh dan semangat untuk memperjuangkan keadilan, kemungkinan akan berlaku perubahan yang bererti dalam arena politik negara.

 

Ingat, mungkin MUDA tidak kelihatan relevan pada hari ini! Tetapi…….. Impak dan kewujudan MUDA tidak boleh dinafikan!

 

 

parafrasa

 

 

MUDA secara terang-terangan pada hari ini memberi peringatan kepada kerajaan untuk menilai semula tindakan, dasar dan keutamaan mereka. Mereka ingin membuktikan kepada semua bahawa politik tidak semestinya terikat oleh amalan lapuk dan ideologi yang menghambat kemajuan.

 

Ini kerana…….. Demonstrated actions carry more weight than empty promises!

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

Portfolio Tags