66 Tahun Kemerdekaan, Melangkah Ke Hadapan Bersama | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 30 August 2023

66 Tahun Kemerdekaan, Melangkah Ke Hadapan Bersama

 

 

CANTIK angka ulang tahun kemerdekaan tahun ini, 66 tahun. Bermaksud sudah 66 tahun usia kemerdekaan Malaysia yang menandakan yang kita telah mengecapi kemerdekaan melebihi enam dekad. Selama lebih enam dekad ini, adakah kita benar-benar mengecapi kemerdekaan?

 

Entah. Tiada jawapan untuk persoalan tersebut. Terlalu banyak perlu dibicarakan sebelum kita boleh mendapat jawapan yang tepat.

 

Apa erti merdeka? Merdeka, jika merujuk kepada definisi dari Kamus Dewan membawa maksud bebas daripada penjajahan, kurungan atau naungan. Dalam erti kata lain, merdeka membawa harapan baru setelah bebas dari cengkaman penjajah. Ia bukan sekadar bebas, tetapi lebih dari itu yang merangkumi ekonomi, politik dan juga sosial.

 

Politikus... Cukuplah

Merayakan kemerdekaan bukan hanya sekadar sorakan riang yang bergema semasa sambutan kemerdekaan diadakan. Sebaliknya, setiap sambutan ulang tahun kemerdekaan merupakan saat yang tepat untuk merenung perjalanan negara, mengkaji keadaan semasa, dan mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran masa hadapan yang semakin mencabar.

 

Dari segi ekonomi, politik, keharmonian antara kaum, dan pembangunan negara, masih terdapat isu yang masih membelenggu serta memerlukan perhatian dari kita sebagai rakyat Malaysia.

 

Sejak berlakunya perubahan lanskap politik negara, Malaysia kini boleh dikatakan sedang bergerak tanpa arah yang jelas. Ia menjadikan kita kabur terhadap ke mana Malaysia akan bergerak pada masa hadapan. Mana tidaknya, selepas tahun 2018, Malaysia seolah kehilangan kestabilan, baik dari segi politik mahupun ekonomi. Dasar sebelumnya yang dilihat terancang, bagus, tetapi  dihentikan dan digantikan dengan dasar merapu.

 

Tidak terhad dengan itu, kegagalan dalam menentukan hala tuju, isu politik, kelemahan mentadbir ekonomi serta perubahan polisi yang drastik telah menyebabkan pelabur hilang keyakinan terhadap negara.

 

Perubahan lanskap politik sebenarnya adalah sesuatu yang boleh mendatangkan kesan positif mahupun negatif. Tetapi perubahan ini sebenarnya rumit untuk diramalkan. Ia sama seperti yang dijelaskan dalam ‘kesan rama-rama’ yang terkandung dalam  ‘Chaos Theory’.

 

Konsep ‘Kesan rama-rama’ ialah idea di mana perubahan kecil sekalipun mampu memberi impak kepada sistem yang kompleks. Ia diibaratkan seperti apabila rama-rama mengepakkan sayapnya, ia boleh menyebabkan berlakunya taufan.

 

Bunyinya seperti dibuat-buat. Ya, sudah tentu, amat mustahil untuk berlakunya taufan melalui satu tindakan apatah lagi apabila tindakan itu dibuat oleh sang rama-rama yang kecil. Itu hanyalah metafora yang membawa maksud; sesuatu perubahan walaupun kecil, ia boleh mencetus rangkaian tindak balas atas sesuatu pemulaan.

 

Dalam politik, konflik dan perbezaan pendapat memang tidak dapat dielakkan kerana sebenarnya ia adalah lumrah dunia politik. Namun, keseimbangan dalam menguruskan konflik dan perbezaan pendapat adalah amat penting! Ini untuk mencegah ketidakstabilan yang boleh menjejaskan negara secara keseluruhan.

 

Kegagalan untuk menangani konflik dan perbezaan pendapat yang meluas akan mendatangkan risiko besar yang lebih teruk iaitu ia bakal memecah-belahkan perpaduan serta merosakkan kesejahteraan dan keharmonian dalam kalangan rakyat.

 

Isu Yang Masih Membelenggu, Sampai Bila?

Walaupun usia kemerdekaan telah melebihi enam dekad, isu ekonomi masih menjadi belenggu negara. Cabaran dalam sektor ekonomi, terutamanya dalam menghadapi ketidakpastian ekonomi global, terus memberi tekanan kepada negara. Bagi menangani cabaran ini, negara memerlukan strategi ekonomi yang tidak hanya berterusan, malah progresif untuk menjamin kestabilan dan kemakmuran ekonomi dalam jangka masa panjang.

 

Ini bukan sekadar naratif ekonomi atau sekadar retorik politik tanpa sebarang tindakan yang konkrit. Ia perlu melibatkan pengambilan keputusan berani dan pelaksanaan yang efisien dalam semua peringkat.

 

Penting untuk diingatkan bahawa cabaran tidak selalu menjadi penghalang  tetapi ia juga merupakan titik permulaan untuk mencapai pencapaian yang lebih besar. Kesedaran akan cabaran dan potensi yang terkandung di dalamnya mendorong kita untuk mencari jalan penyelesaian yang inovatif serta lebih berkesan. Apabila kita berani menghadapi cabaran dengan tekad yang kukuh, kita membuka pintu kepada peluang untuk menjadikan Malaysia lebih baik dari masa sekarang.

 

Ketepikan politik untuk sekerika kerana dalam kita mengejar kemakmuran ekonomi kita perlukan kestabilan politik. Ini dapat direalisasikan dengan semangat kerjasama dan kebersamaan dalam menghadapi cabaran. Dalam mencapai hasrat ini, kerjasama dari setiap lapisan masyarakat adalah sangat diperlukan. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha ini!

 

Dengan semangat yang teguh dan sikap kebersamaan, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan dan sayangkan negara, kita mampu untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang berdaya saing dan berwibawa di peringkat global.

 

66 Tahun Sekadar Angka, Perjalanan Masih Jauh

Perubahan tidak mungkin akan berlaku dalam sekelip mata. Proses pembinaan negara yang sebenar-benarnya adalah satu proses dan perjalanan yang memerlukan masa, kesabaran, dan usaha berterusan. Seperti pokok yang perlahan tumbuh, kita harus memberikan ruang kepada masa untuk membentuk perubahan dan kemajuan.

 

Perpecahan politik dan perbezaan pendapat antara kaum mungkin dapat kita atasi dengan lebih baik jika kita kembali kepada asas keharmonian dan perpaduan. Ini adalah asas  yang telah membina Malaysia sejak dulu lagi. Semangat Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan budaya harus kita pelihara agar kita tidak terjerumus dalam perpecahan yang menganggu gugat perpaduan yang telah lama dibina.

 

Sambil kita merenung cabaran dan perubahan mendatang, kita juga perlu memberi perhatian kepada pencapaian negara sepanjang 66 tahun merdeka. Dari sektor ekonomi hingga ke pendidikan, Malaysia telah melakar banyak kejayaan di persada dunia. Ini sememangnya tidak dapat dinafikan! Ia telah tercatat dalam lipatan sejarah negara.

 

Namun, ini bukan masa untuk kita hanya bersandar pada sejarah semata-mata. Sebaliknya, kita perlu menggunakan pencapaian ini sebagai titik tolak untuk terus maju ke hadapan.

 

Dalam konteks dunia hari ini yang sentiasa berubah, Malaysia tidak boleh berdiam diri. Perkembangan teknologi, globalisasi, dan cabaran-cabaran global lain menuntut kita untuk berubah dan beradaptasi dengan dunia baru. Ini adalah masa dan peluang untuk Malaysia maju ke hadapan dengan tekad perpaduan yang membawa harapan baru.

 

Sempena ulang tahun kemerdekaan yang ke-66 ini, hentikan segala provokasi, buangkan sifat perkauman, boikot politikus yang memecakan belahkan negara, cari titik persamaan supaya kita semua menjadi satu suara iaitu suara rakyat Malaysia.

 

Marilah kita sama-sama memahami tanggungjawab dan peranan kita sebagai warga negara yang sayangkan dan cintakan negara dalam usaha untuk membina Malaysia menjadi negara yang lebih baik. Ingat! Jika kita bersatu, tiada cabaran yang tidak mampu kita atasi dan tiada impian yang tidak mampu kita capai! Kita boleh dan Malaysia boleh!

 

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-66! Merdeka! - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat
Portfolio Tags