Mencari Malaysia MADANI di Indonesia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 13 June 2023

MENCARI MALAYSIA MADANI DI INDONESIA

 

 

BULAN ini, Persatuan Sastera Lisan Malaysia berada di Indonesia untuk menghadiri Seminar Antarabangsa LISAN XII. Pembentangan kertas kerja bermula pada 12 Jun, oleh itu kami mengambil kesempatan untuk bersiar-siar sambil memerhatikan masyarakat sekeliling.

 

Pada masa yang sama, terlintas di fikiran melihat suasana di sekeliling - inikah masyarakat Madani yang kita impikan? Sering saya memikirkan Malaysia Madani yang masih menjadi tanda-tanya. Satu perjalanan yang jauh. Masih tercari-cari maksud dan bayangan Malaysia Madani. Apakah sebenarnya? 

 

Mungkin pemerhatian di Indonesia ini boleh dijadikan aspirasi Malaysia Madani.

 

Apakah Malaysia Madani?

Malaysia Madani adalah salah satu dasar kepemimpinan negara yang diusulkan oleh Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim tertumpu kepada keharmonian masyarakat, pembangunan lestari dan tadbir urus

 

Malaysia Madani berlandaskan enam perkara iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Pada masa yang sama, Malaysia Madani mengangkat lapan kayu ukur:

 

  • Ekonomi
  • Kewangan
  • Perundangan
  • Pendidikan
  • Kemasyarakatan
  • Budaya
  • Bandar
  • Luar bandar
     

 

madani

 


Sejujurnya, pengalaman dan pemerhatian di Indonesia membuat saya begitu terharu. Inikah hasilnya jika mempunyai ketua yang begitu dihormati dan jelas hala tujunya?  Saya turunkan beberapa aspek mudah yang mungkin boleh dibuat aspirasi Malaysia Madani.

 

  1. Kebersihan

Di Jakarta, Depok dan Bogor, jalan rayanya bersih. Tiada daun di jalan, tiada sampah kelihatan. Sampah dibuang dalam tong yang disediakan. Tandas di gedung besar bersih.  ‘Contactless operations’ dan ada bauan wangi.

 

Kawasan Restoren juga bersih, baik di Jakarta dan di Bogor.  Layanannya mesra dan cepat. Professional.

 

  1. Tempat riadah buat masyarakat

Puluhan tahun dulu, Profesor Emeritus Muhammad Hj Salleh telah ke Anchol, kawasan pantai yang mempunyai pemandangan senja  yang begitu cantik. Beliau menceritakan bahawa dulu, ini kawasan yang dipenuhi belukar dan semak samun namun demi pemandangannya sangat indah, ramai ke Anchol.


 

anchol

 


Oleh itu, sampai saja di Jakarta, kami ke Anchol, untuk melihat-lihat. Jelas Anchol telah banyak berubah, kata Prof Muhammad. Ia kini sebuah taman riadah di yang telah dibuka untuk orang ramai.

 

Pada hari ini, kawasan ini telah disediakan laluan berjalan kaki, ‘pancuran mandi yang dihiasi batu natural, kawasan gerai makanan dan tempat duduk santai yang terletak di bawah pokok rendang. Memang indah.

 

Teringat kata inskripsi Talang Tuwo di zaman kerajaan Dapunta Hyang Sri Jayanasa.

 

Bahagia! Tahun Saka 606 pada hari kedua bulan terang Caitra, itulah waktunya taman Sri Ksetra ini diperbuat, milik Dapunta Hyang Sri Jayanasa. Ini pesan Dapunta Hyang:

Semua yang ditanam di sini; nyiur, pinang, enau, rumbia dan lain-lain yang (berupa) pohon, dimakan buahnya, serta aur, buluh betung dan yang semacam itu. Demikian pula taman-taman lainnya dengan sebat telaga; semuanya yang kuperbuat, semua perbuatan baik, dimaksud untuk kebahagiaan semua makhluk yang bergerak dan tidak bergerak.

 

Pendirian Dapunta Hyang Sri Jayanasa sebagai pengasas SriVijaya dicontohi masyarakat yang mempunyai budaya mesra alam, merakamkan keindahan segala flora dan fauna untuk kebaikan semua jenis ‘makhluk yang bergerak dan tidak bergerak.’ Kepimpinan Dapunta Hyang bercirikan pemerintah yang mementingkan rakyat jelata.

 

Inilah kayu ukur tamadun kita yang sejati.

 

  1. Taman Budaya

Taman Budaya Taman Ismail Marzuki  (TIM)  merupakan ikon pusat seni dan budaya ibukota Jakarta terletak di daerah Cikini. Bangunan utama mempunyai ruang dan galeri seni serta hotel para seniman, bahagian Galeri Seni dan Galeri Annex. 


 

parafrasa

 


Perpustakaan umum pula dilengkapi dengan 100,000 buah buku di tiga aras dengan interior yang berunsur kayu.

 

Yang lebih penting, taman ini memberi penghormatan pada anak seni bangsa Indonesia. Ismail Marzuki merupakan komposer hebat dari Indonesia dan Taman Ismail Marzuki diabadikan sebagai  pusat seni, budaya dan sains seluruh Jakarta.

 

Pada jam tertentu, lagu-lagu Ismail Marzuki berkumandang - alunan biola yang menggersik jiwa. Lagu asli Melayu.

 

  1. Kehijauan yang lestari

Di Bogor terutamanya, semua pelawat dapat menikmati lanskap Istana dan jalanraya yang sangat teratur, indah dan berseni. Di perkarangan Istana Bogor, ada rusa yang merayau bebas. Ini pemandangan yang dinikmati semua yang lalu-lalang di jalanraya.

 

Pokok-pokok begitu segar dan rapi penjagaannya. Kami juga sempat ke Kebun Raya Bogor, satu pusat konservasi perhutanan di tengah kota.

 

  1. Universitas Indonesia

 Apabila lalu di Universitas Indonesia, saya terlihat kata-kata hikmah Ki Hajar Dewantara, Menteri Pendidikan pertama.

 

"Ing ngarsa sung tulada, Ing madya mangun karsa, Tut wuri handayani”


 

parafrasa

 


Di depan, seorang Pendidik harus memberi teladan yang baik. Di antara Murid guru harus mencipta  idea. Dari belakang Seorang Guru harus Memberikan dorongan dan arahan.

 

Budaya pendidikan itu sangat penting membangunkan bangsa.

 

  1. Budaya Membaca

Budaya membaca dan penulisan buku serta terjemahan amat diperkasa di Indonesia. Perpustakaan terhebat Asia Tenggara di Indonesia baru dibuka setinggi 24 tingkat. Tingkat 9 didedikasikan Manuskrip lama khazanah negara.

 

Di kedai buku seperti Gramedia, ramai anak-anak muda membanjiri kedai buku, dahagakan ilmu dan sastera.

 

      7. Tenaga kerja    

Kelihatan anak muda cergas dan berjiwa cekal menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh. Tiada bangsa asing. Semuanya anak Indonesia. Dinamik. Dedikasi.

 

Bandar Jakarta mempunyai 31 juta rakyat. Namun pengurusan bandarnya begitu teratur dan progresif. Mungkin masalah yang nyata adalah keadaan trafiknya.

 

Namun segala kehebatan bandar ini boleh kita contohi. Kita mesti akur dan mula bergerak memperbaiki segala yang perlu demi mencapai Malaysia Madani.


 

parafrasa

 


Kita perlukan lebih dari kata-kata dan aspirasi. Lebih dari ‘will power’ dan ‘political will.’ Jangan retorik semata.

 

Kita perlukan komitmen dan kepercayaan.  – DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

Portfolio Tags