Yew Lee catat hasil RM6.1 juta pada suku ketiga dipacu sektor perkilangan, perdagangan | DagangNews Skip to main content

Yew Lee catat hasil RM6.1 juta pada suku ketiga dipacu sektor perkilangan, perdagangan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis - Yew Lee Pacific Group Bhd. mencatatkan hasil sebanyak RM6.1 juta untuk suku ketiga berakhir 30 September 2022 dipacu aktiviti perkilangan dan perdagangan.

 

Kedua-dua segmen ini masing-masing menyumbang sebanyak RM3.84 juta dan RM2.27 juta kepada jumlah hasil pada suku berkenaan.

 

Bagaimanapun, tiada perbandingan pada asas tahun ke tahun kerana kumpulan telah disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd. pada 7 Jun 2022.

 

Bagi suku dalam tinjauan, Yew Lee melaporkan keuntungan kasar sebanyak RM2.12 juta manakala mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM960,000 dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM760,000. 

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022, kumpulan mencatatkan hasil RM24.35 juta sambil merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM390,000 dan kerugian selepas cukai sebanyak RM410,000.

 

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Yew Lee, Ang Lee Leong berkata, kumpulan merancang untuk mengurangkan kebergantungannya kepada industri sarung tangan getah dengan mencari peluang dalam industri semikonduktor, kayu, kaca dan pertanian.  

 

Katanya, selain mempelbagaikan pangkalan pelanggan, kumpulan juga akan meningkatkan kecekapan pembuatan dan mengautomasikan proses pembuatan dengan memperoleh mesin dan peralatan automatik tambahan untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang perniagaan.

 

 

yew lee
                                       Ang Lee Leong

 

 

"Kami juga memperluaskan perdagangan perkakasan dan alat ganti jentera industri terutamanya di kawasan tengah dan selatan Semenanjung Malaysia dan, berkembang ke lebih banyak pasaran di luar negara," katanya.

 

Kumpulan telah memasarkan produknya ke Thailand, Vietnam, Indonesia dan Taiwan, yang menyumbang kira-kira satu perempat kepada jumlah hasil pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. - DagangNews.com