Wasiyyah Shoppe komited didik umat Islam rancang pengurusan harta pusaka | DagangNews Skip to main content

Wasiyyah Shoppe komited didik umat Islam rancang pengurusan harta pusaka

Hartanah-hartanah yang bernilai tinggi seperti di Kampung Baru masih bergelut dengan isu waris. - Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PETALING JAYA 22 Feb - Syarikat amanah patuh syariah, Wasiyyah Shoppe Berhad akan terus mendidik umat Islam di negara ini berhubung kepentingan perancangan pengurusan harta pusaka.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya, Ariffin Sabirin berkata, ini penting supaya harta yang ditinggalkan kepada waris tidak 'tergantung' pada masa akan datang.

 

Katanya, menurut statistik Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) melalui Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP) di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pada 2019, sebanyak RM70 bilion harta pusaka tidak dituntut yang mana majoritinya milik orang Melayu.

 

"Kita lihat hartanah-hartanah yang bernilai tinggi seperti di Kampung Baru masih bergelut dengan isu waris. Dengan kenaikan nilai hartanah, jumlah RM70 bilion itu pada saya agak logiklah. 

 

"Ke manapun kita pergi sebenarnya harta pusaka adalah isu yang besar. Dalam ketidaktentuan ekonomi dunia sekarang, Wasiyyah Shoppe sentiasa komited untuk memberi kesedaran kepada umat Islam untuk merancang harta.

 

"Apabila perancangan harta dibuat dengan betul, proses turun hak milik harta dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan efisien, selain kami boleh bantu secara percuma untuk proses tersebut," katanya dalam sidang akhbar memperkenalkan sistem hibah tanpa kertas pertama di dunia, UsraHDD di sini hari ini.

 

Menurut Ariffin, sumber kekayaan umat Islam sebenarnya adalah harta pusaka, namun ia telah ditinggalkan dan tidak 'dipandang' mereka sejak sekian lama.

 

 

wassiyah
                                                                   Ariffin Sabirin

 

 

"Bayangkan RM70 bilion itu dapat disuntik semula ke dalam ekonomi negara, betapa signifikannya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang," katanya.

 

Terdahulu, Wasiyyah Shoppe melancarkan aplikasi pelaksanaan akad dan penyimpanan dokumen hibah tanpa kertas pertama di dunia yang dikenali sebagai UsraHDD. 

 

Melalui aplikasi UsraHDD, pemberi dan penerima hibah boleh berada di mana sahaja lokasi di seluruh dunia yang mempunyai capaian internet serta dilaksana secara waktu sebenar melalui telefon pintar.

 

Selepas akad disempurnakan dokumen hibah akan disimpan secara digital di dalam sistem awan.

 

BACA JUGA: Wasiyyah Shoppe unjur pendapatan RM7 juta menerusi aplikasi UsraHDD

 

Proses akad hibah melalui aplikasi tersebut hanya mengambil masa kurang dari 15 minit di samping ia lebih selamat kerana disertakan dengan proses pengenalan diri Kenali Pelanggan Anda (e-KYC) yang menggunakan kaedah teknologi kecerdasan pintar (AI) terkini. - DagangNews.com