Untung selepas cukai ITMAX System melonjak 78.1% kepada RM12.3 juta bagi 3QFY22 | DagangNews Skip to main content

Untung selepas cukai ITMAX System melonjak 78.1% kepada RM12.3 juta bagi 3QFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Dis - Untung selepas cukai (PAT) ITMAX System Berhad melonjak sebanyak 78.1% kepada RM12.3 juta bagi 3QFY22.

 

Syarikat itu juga turut mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 44.5% kepada RM30.8 juta manakala untung sebelum cukai (PBT) meningkat 82.0% kepada RM16.6 juta.

 

Bagi tempoh 9MFY22, hasil, PBT dan PAT meningkat sebanyak 29.3%, 28.9% dan 26.6% kepada RM71.5 juta, RM37.5 juta dan RM27.8 juta.

 

Difahamkan, PAT kumpulan itu bagi 9MFY22 menyamai 95% daripada PAT penuh FY21.

 

Saham ITMAX akan diapungkan di Pasaran Utama, Bursa Malaysia Securities pada 13 Disember 2022.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, William Tan Wei Lun berkata, pihaknya gembira dengan pendapat suku ketiganya kerana ia hampir menandingi keputusan penuh tahun kewangan 2021. 

 

Beliau berkata, segala pelaburannya dalam perniagaan telah mula memberikan pulangan yang positif.

 

"Pencapaian ini juga berdasarkan keupayaan inovasi pasukan kami. Selepas penyenaraian, kami akan meningkatkan peruntukan belanjawan untuk penyelidikan dan pembangunan dalaman untuk inovasi selanjutnya dalam industri sistem rangkaian ruang awam.

 

"Selaras dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, pendigitalan akan menjadi perkara besar seterusnya. Menerusi rancangan pengembangan syarikat, kami percaya sudah bersedia untuk merebut peluang dalam sektor ini," katanya. - DagangNews.com