Untung bersih UEM Edgenta susut mendadak kepada RM4.59 juta disebabkan kerugian rosot nilai | DagangNews.com Skip to main content

Untung bersih UEM Edgenta susut mendadak kepada RM4.59 juta disebabkan kerugian rosot nilai

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Nov - Untung bersih UEM Edgenta Bhd. susut 49.83% kepada RM4.59 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 berbanding RM9.15 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan peruntukan sekali sahaja kerugian rosot nilai ke atas inventori dan peningkatan kos dalam operasi perniagaan.

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat 3% kepada RM646.2 juta daripada RM571.88 juta, menurutnya dalam kenyataan hari ini.

 

Ini didorong terutamanya hasil lebih tinggi daripada segmen perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan melalui pengembangan dalam penyelesaian penawaran bersepadu di Malaysia serta memperluaskan perkhidmatan kepada sektor berkaitan di Singapura dan Taiwan, iaitu hospitaliti dan semikonduktor.

 

Selepas separuh pertama yang kukuh, momentum pertumbuhan bagi suku ketiga menyederhana disebabkan tekanan inflasi yang semakin meningkat dan gangguan rantaian bekalan.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM24.86 juta, meningkat 13.15% daripada RM21.97 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan meningkat kepada RM1.8 bilion.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, kumpulan komited untuk memenuhi nilai kemampanan jangka panjang kepada pihak berkepentingan di samping pendekatan yang proaktif bagi meningkatkan daya tahan operasi.

 

"Di sebalik ketidaktentuan makroekonomi dan cabaran operasi, syarikat akan terus memperkukuh kesediaannya melalui pengoptimuman kos struktur dan strategi kecekapan operasi ke arah membina syarikat pengurusan kemudahan bersepadu yang dikuasakan oleh teknologi global," katanya.

 

Setakat 30 September 2022, UEM Edgenta mengekalkan kedudukan kunci kira-kira yang sihat dengan nisbah gearan rendah pada 0.3 kali.

 

Nilai kontrak kumpulan juga kukuh sebanyak RM10.1 bilion. Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022, ia telah memperoleh kontrak baharu bernilai hampir RM972 juta, dengan 70% daripadanya menerusi perniagaan antarabangsa sejajar dengan strategi pengembangan kumpulan di peringkat global. -DagangNews.com