Untung bersih LSH Capital melonjak 408.4% kepada RM40.32 juta bagi FY22 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih LSH Capital melonjak 408.4% kepada RM40.32 juta bagi FY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Dis - Untung bersih Lim Seong Hai Capital Berhad (LSH) melonjak sebanyak 408.4% kepada RM40.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2022 (FY22) berbanding RM7.93 juta pada FY21.

 

Hasil kumpulan melonjak 142.2% kepada RM163.31 juta atau RM95.89 juta daripada RM67.42 juta yang dicatatkan pada FY21.

 

LSH dalam satu kenyataan berkata, peningkatan itu disokong oleh penyatuan perkhidmatan dan penyelesaian berkaitan pembinaan di bawah LSH Best Builders Sdn Bhd.

 

Pengarah Urusannya, Lim Pak Lian berkata, keputusan itu membuktikan bahawa kumpulan itu berada di landasan untuk menjadi nama besar dalam industri pembinaan.

 

"Rangka Kerja BEST kami telah membawa kumpulan ke arah yang betul dan kami gembira dengan keputusan kewangan.

 

"Kami akan terus melaksanakan strategi pertumbuhan kami dan mengejar peluang masa depan yang lain untuk meningkatkan lagi buku pesanan kerja pembinaan tertunggak RM848 juta yang kami ada.

 

"Ini akan menjadi tambahan kepada penyediaan perkhidmatan dan penyelesaian berkaitan pembinaan sebagai sebahagian daripada Rangka Kerja BEST dengan LSH Best akan layak menerima bayaran berdasarkan nilai projek pembinaan dan hartanah pelanggan mereka sebanyak RM2.7 bilion," katanya.

 

Pengerusinya, Tan Sri Lim Keng Cheng berkata, selaras dengan dasar dividen syarikat dan komitmen untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham, jumlah dividen yang diisytiharkan untuk FY22 berjumlah RM12.10 juta telah memenuhi nisbah pembayaran dividen sebanyak 30% daripada keuntungan bersih LSH.

 

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan lembaga pengarah atas sokongan dan sumbangan mereka dan kepada pengurusan dan kakitangan LSH Capital Berhad untuk memperjuangkan Rangka Kerja BEST," katanya. - DagangNews.com