Untung bersih I-Berhad suku ketiga melonjak hampir 5 kali ganda kepada RM15.58 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih I-Berhad suku ketiga melonjak hampir 5 kali ganda kepada RM15.58 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Nov - Keuntungan bersih I-Berhad melonjak hampir lima ganda kepada RM15.58 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 daripada RM3.19 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat kepada RM38.89 juta daripada RM21.57 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Peningkatan itu terutamanya disumbangkan menerusi jualan yang diiktiraf dalam pembangunan terbaharunya, BeCentral dan unit yang telah siap, projek i-Suite dan Hyde di i-City. 

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, keuntungan bersih syarikat pembangunan hartanah itu meningkat kepada RM18.53 juta daripada kerugian bersih RM4.8 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM77.37 daripada RM51.63 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Dalam kenyataan berasingan, Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, pada suku ketiga, kumpulan secara rasmi telah membuka Hotel DoubleTree by Hilton untuk perniagaan dan menerima sambutan menggalakkan dengan kadar penghunian yang tinggi untuk penginapan dan acara.

 

Katanya, kumpulan menjangkakan ia akan menjadi penyumbang pendapatan utama kepada segmen riadah menjelang tahun hadapan.

 

"Kerjasama strategik ini telah meningkatkan nilai i-City dan mewujudkan peluang keemasan bagi pemaju teknologi untuk melancarkan kediaman BeCentral sebelum akhir tahun.

 

"Pembangunan ini terdiri daripada dua menara kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM600 juta dalam i-City Finance Avenue dan bersedia untuk menyumbang ke arah keuntungan kumpulan dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang," katanya.

 

Setakat 30 September 2022, jualan belum dibil kumpulan berjumlah RM73.6 juta berbanding RM61.7 juta setakat 30 Jun 2022.

 

Menurut beliau, akhir tahun ini dijangka menarik 100,000 pengunjung ke i-City pada musim perayaan akan datang, sejajar dengan usaha kumpulan untuk meningkatkan pelancongan di Selangor, dan memberi sumbangan positif kepada segmen riadah dalam suku akan datang.

 

"Di sebalik prospek ekonomi keseluruhan yang lebih lemah, I-Berhad telah menyaksikan banyak perkembangan positif berikutan pembukaan Mercu Maybank dan Double-Tree oleh Hilton di i-City Finance Avenue tahun ini," tambahnya. - DagangNews.com