MAHAL! - satu daripada 3 punca pembeli kurang minat guna EV, menurut RHB Investment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHAL! - satu daripada 3 punca pembeli kurang minat guna EV, menurut RHB Investment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Jan - RHB Investment Bank menjangkakan lebih banyak insentif akan diperkenalkan dalam pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini, sekali gus dapat mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

 

Namun, penganalisisnya, Jim Lim Khai Xhiang mendapati ada tiga faktor utama yang akan mempengaruhi kecenderungan pengguna terhadap penggunaan EV memandangkan ia masih kekal lembap setakat ini.

 

Keadaan ini disebabkan rata-rata pengguna berpendapat harga EV terlalu mahal terutamanya disebabkan kos bateri yang tinggi merangkumi kira-kira 30 hingga 40% daripada kos EV, dan dijangka terus meningkat pada 2023. 

 

Malah, katanya, pelanggan juga tidak biasa dengan masa pengecasan yang lama, sekitar 30 minit hingga lebih lapan jam berbanding tempoh mengisi minyak yang singkat di stesen minyak.

 

"Dalam hal ini, adalah penting supaya masa pengecasan EV terus berkurangan, dengan kemajuan teknologi yang berterusan.

 

"Faktor ketiga pula ialah infrastruktur pengecasan yang tidak mencukupi menjadikan pemilikan EV mencabar," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

gambar hiasan

 

 

Firma itu mendapati walaupun EV Atto 3 baharu BYD telah menerima pesanan sebanyak 1,500 unit dalam tempoh sebulan selepas pelancarannya, namun permintaan untuk EV di Malaysia masih lemah.

 

Semua model EV popular sedia ada seperti BMW iX, Hyundai IONIQ5, Kia EV6, Mazda MX-30 mempunyai stok sedia.

 

Khai Xhiang berkata, meskipun lebih banyak jenama mampu milik (contohnya, Lingbox) akan memasuki pasaran, tetapi masih wujud halangan tertentu terhadap penggunaan EV.

 

Menurut beliau, beberapa dasar yang akan diumumkan dapat Bajet 2023 dapat membantu mempercepatkan penggunaan EV di negara ini, antaranya, insentif untuk menarik pengeluar peralatan untuk memasang EV secara tempatan juga boleh mendorong mereka untuk menjual di dalam negara, sekali gus meningkatkan pilihan dan unit yang tersedia.

 

Selain itu, katanya, tempoh bebas cukai yang lebih panjang untuk pembelian EV boleh membantu lebih ramai pembeli memanfaatkan pelepasan cukai apabila lebih banyak EV memasuki pasaran.

 

Dalam Bajet 2023 yang diumumkan kerajaan sebelum ini pada Oktober lalu, ia hanya memberi lanjutan kepada pengecualian cukai import dan duti eksais untuk EV model import sepenuhnya (CBU) selama setahun hingga akhir 2024 berbanding akhir 2023. 

 

Sebaliknya, pengecualian cukai EV bagi pemasangan tempatan (CKD) kekal sehingga akhir 2025.

 

"Pada masa sama, insentif langsung untuk syarikat memasang pengecas EV boleh membantu menangani halangan ini untuk diterima pakai. 

 

"Ini memandangkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad baru-baru ini berkata akan ada lebih banyak insentif berkaitan EV diperkenalkan dalam Bajet 2023 yang disemak semula," katanya.

 

Secara keseluruhan, RHB Investment mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor automotif dengan pilihan utamanya ialah Bermaz Auto Bhd. dan Sime Darby Bhd. 

 

"Kami menjangkakan jualan kereta tahun ini akan berkurangan daripada asas 2022 yang tinggi disebabkan ketiadaan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan serta harga kereta yang lebih tinggi," tambahnya. - DagangNews.com