Tech Hunter perkenal kempen #TechMeToBazaar galak pembayaran tanpa tunai di bazar Ramadan | DagangNews Skip to main content

Tech Hunter perkenal kempen #TechMeToBazaar galak pembayaran tanpa tunai di bazar Ramadan

Azmi Abdul Hamid (kiri) dan Presiden Persatuan Pengurusan Pasar Malam Kuala Lumpur, Gulam Muszaffar Mustakim mencuba kaedah pembayaran mod digital di bazar Ramadan di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - Tech Hunter Global Sdn Bhd memperkenalkan #TechMeToBazaar di sebuah bazar Ramadan di Taman Tun Dr Ismail, yang mana para pengunjung boleh melakukan pembayaran menerusi pelbagai mod digital, termasuklah kad kredit, kad debit dan e-dompet.

 

Para peniaga di Bazar Ramadan TTDI dibekalkan dengan terminal pembayaran yang disediakan oleh PayHunter, sebuah anak syarikat Tech Hunter, supaya para pengunjung dapat menggunakan kad mereka untuk ‘wave’ atau imbas sahaja kod QR yang tersedia di setiap gerai untuk pembayaran. 

 

Para pengunjung tidak perlu lagi bimbang sekiranya mereka tiada wang tunai untuk membeli juadah buka puasa. Bazar ini dibuka seawal pukul 3 petang, mulai 23 Mac sehingga 21 April dengan menyasarkan seramai 200,000 pengunjung tahun ini.

 

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Azmi Abdul Hamid berkata, beliau amat gembira dan bangga melihat usahawan-usahawan kecil mengorak langkah untuk meningkatkan kemahiran sedia ada. 

 

Katanya, mereka mempelajari dan mengambil kira keperluan dan kehendak para pelanggan yang mahukan transaksi yang mudah dan lancar dalam setiap aspek kehidupan, termasuklah melaksanakan sekecil-kecil pembelian di bazar Ramadan. 

 

"Langkah ini bertepatan dengan halatuju pemerkasaan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk melaksanakan penyelesaian digital seiring dengan usaha Malaysia ke arah gaya hidup digital," katanya dalam kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Tech Hunter, Jenson Wong pula berkata, mereka telah menyaksikan kepesatan penggunaan e-dompet beberapa tahun kebelakangan ini yang telah melonjakkan minat rakyat Malaysia untuk melaksanakan budaya tanpa tunai. 

 

techhunter

 

 

"Bazar Ramadan sudah menjadi sebahagian daripada norma rakyat Malaysia, dan kami tahu inilah masa yang terbaik untuk menggalakkan rakyat untuk menjalani kehidupan secara digital," katanya.

 

Para pengunjung bazar akan disajikan dengan lebih 150 gerai yang menawarkan keenakan pelbagai sajian tempatan. 

 

Bersama-sama dengan Bank Simpanan Nasional, SHOPLINE, GrabPay Malaysia dan YTL Communications selaku para penaja, para pengunjung #TechMeToBazaar juga boleh menikmati pelbagai promosi yang menarik.

 

 

techhunter

 

 

Para pengunjung yang menggunakan kad debit ataupun kredit BSN yang melakukan pembelian berjumlah RM50 (mereka boleh menggabungkan maksimum tiga resit), berpeluang memenangi pulangan tunai ‘one-time’ bernilai RM5 sepanjang tempoh kempen dari 23 Mac sehingga 21 April 2023. Seramai 4,000 pemenang akan dipilih secara rawak.

 

Para pengunjung juga boleh menikmati potongan sebanyak RM30, dengan pembelian minimum berjumlah RM200 menerusi fungsi PayLater Grab dalam aplikasi Grab. - DagangNews.com