Tealive tembusi pasaran Kanada, rancang buka 50 cawangan dalam tempoh 5 tahun | DagangNews Skip to main content

Tealive tembusi pasaran Kanada, rancang buka 50 cawangan dalam tempoh 5 tahun

KUALA LUMPUR 29 Nov - Tealive buat julung kalinya telah tiba di Amerika Utara menerusi kedai pertamanya di pusat bandar Ottawa, Kanada minggu lepas.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo berkata, Tealive telah memberi tumpuan untuk berkembang di Asia Tenggara dan tidak menyasarkan Amerika Utara secara khusus sehinggalah ia didatangi oleh kumpulan perniagaan mapan yang terlibat dalam menjalankan perniagaan pastri dan kedai roti.

 

"Kami yakin bahawa rakan kongsi tempatan pilihan kami di Kanada akan menjadi padanan yang sesuai kerana mereka mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam segmen makanan dan minuman. Rakan kongsi tersebut komited untuk membuka 50 cawangan dalam tempoh lima tahun akan datang di seluruh Kanada. 

 

"Kemasukan ke Kanada ini dan perkembangan yang dirancang di seluruh negara akan memberi kami peluang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pasaran Amerika Utara secara dekat. Oleh itu, pada masa akan datang, kami mungkin akan turut menerokai pasaran Amerika Syarikat (AS) yang menguntungkan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Loo berkata, rakan kongsi mereka telah mengembara ke Asia Tenggara dan terdedah kepada Tealive. 

 

"Mereka menyukai capaian jenama kami, format kami yang boleh berskala dengan banyak saiz kedai dan keberadaan kami di stesen minyak. Mereka kagum dengan tumpuan kami pada pasaran pandu-lalu kerana pandu-lalu adalah sesuatu yang utama dalam pasaran Amerika Utara. 

 

"Mereka mengiktiraf model perniagaan kami yang serba boleh dan pasti ini akan menjadi format yang ideal untuk pasaran Barat seperti AS. Mereka yakin bahawa Tealive adalah tawaran unik dalam pasaran boba sejajar dengan janji jenama kami iaitu ‘Bukan Sekadar Teh’. Tealive mempunyai pelbagai jenis minuman dalam portfolio kami dan juga tambahan terkini kami memasuki makanan melalui Tealive Eats.

 

 

tealive

 

 

tealive

 

 

“Anda boleh lihat bahawa kami mempunyai menu makanan yang membezakan kami daripada industri teh susu boba biasa. Menu pelancaran Kanada kami sememangnya inovatif dan menarik dengan minuman dan makanan yang disusun-atur untuk selera tempatan tanpa menjejaskan pengalaman unik Tealive 'breakthrough' kami," katanya.

 

Pembukaan secara besar-besaran menyaksikan kedai di pusat bandar Somerset Street dibanjiri oleh peminat boba. Majlis tersebut turut dimeriahkan oleh pempengaruh tempatan seperti Eric Chan dari Ottawa Nibbles, Melissa dari Mels Hangry Table, Allie dari YumYumYow, Marilou dari 20ys dan Anglea of Anglea Bites.

 

 

tealive

 

 

tealive

 

 

Loo yakin dengan potensi pasaran global bubble tea dan mahu meletakkan Loob untuk bersedia bagi mengharungi gelombang seterusnya.

 

“Menurut firma penyelidikan pasaran terkemuka Facts and Factors, saiz Pasaran Global Bubble Tea bernilai sekitar AS$2.1 bilion pada 2020 dan dianggarkan meningkat kepada kira-kira AS$4.5 bilion menjelang 2026, pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 8.1% antara 2021 dan 2026.

 

“Tealive dikenali sebagai jenama yang ‘Lahir di Malaysia, Dibesarkan untuk Dunia’. Hari ini, kami mengucapkan terima kasih kepada berjuta-juta pelanggan kami di 10 negara, kerana dengan sokongan mereka, kami benar-benar global dengan kehadiran kami  di lima benua," katanya. - DagangNews.com