Talentcorp dan IIB jalin kerjasama bangunkan bakat bagi memperkukuh tenaga kerja di Johor | DagangNews Skip to main content

Talentcorp dan IIB jalin kerjasama bangunkan bakat bagi memperkukuh tenaga kerja di Johor

Mohd Hairi Mad Shah (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU di antara Thomas Matthew (depan, kiri) dan Datuk Idzham Hashim di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, Johor.

JOHOR BAHRU 22 Mac - Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) dan Iskandar Investment Bhd (IIB) menjalin kerjasama dalam mengukuhkan tenaga kerja di Johor melalui inisiatif pembangunan strategik modal insan.

 

Kerjasama di antara Talentcorp dan IIB itu dimeterai melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah di Kompleks Sukan Educity Iskandar Puteri semalam.

 

Menurut kenyataan bersama mereka, MoU itu turut menggariskan rangka kerja merangkumi inisiatif untuk mengenal pasti bakat, pembangunan bakat dan perancangan kerjaya serta meningkatkan tahap penglibatan industri dan ahli akademik dalam membangun dan mengekalkan kumpulan bakat di Johor.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew berkata, peranan pihaknya dalam menarik, memupuk dan mengekalkan bakat seiring dengan permintaan industri telah membantu mengurangkan cabaran dalam ekosistem bakat Malaysia, seperti bakat tersedia untuk industri dan ketidakpadanan pekerjaan.

 

“Penempatan pegawai TalentCorp secara tetap di Wilayah Selatan juga adalah komitmen kami ke arah mewujudkan kerjasama dengan kerajaan Johor dan pihak berkepentingan ke arah memacu pembangunan modal insan Malaysia,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB Datuk Idzham Hashim pula berkata, kerjasama itu akan mewujudkan peluang baharu kepada bakat Malaysia untuk mendapatkan akses syarikat-syarikat teknologi dan digital baru yang muncul di Iskandar Puteri.

 

Tambahya, ia diyakini mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

 

Pada masa sama, katanya, ia juga akan menyokong usaha pihak IIB dalam membina ekonomi yang kukuh dan mampan di Iskandar Puteri.

 

“Selain itu, ia dapat meningkatkan daya tarikan terhadap pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI), melalui bakat yang sedia ada dilengkapi kemahiran dan kecekapan yang relevan pada kos yang kompetitif,” katanya. - DagangNews.com